Sat10212017

LAST_UPDATEFri, 27 Oct 2017 9am

Royal Selangor Terima Pensijilan MTCS

ROYAL Selangor, jenama yang menawarkan variasi rekaan hiasan dalaman dan cenderahati berasaskan piuter, memperoleh pensijilan rantaian jagaan (Chain of Custody (CoC)) di bawah Skim Pensijilan Kayu Malaysia (MTCS),

Pensijilan itu membolehkan Royal Selangor melabelkan produk piuter berasaskan kayu bagi membuktikan pematuhan komponen kayu terhadap keperluan kemampanan di bawah MTCS.

Pengarah Eksekutif Royal Selangor Internatioal, Yong Yoon Li berkata, selama lebih 130 tahun, Royal Selangor menggunakan bahan-bahan kayu mampan dalam pembuatan piuter.

"Dengan penggunaan label Majlis Pensijilan Kayu Malaysia (MTCC) atau 'Programme for the Endorsement of Forest Certification' (PEFC), ia akan memperkukuhkan lagi reputasi produk Royal Selangor di pasaran global memandangkan bahan-bahan bersijil MTCS juga diiktiraf 38 negara anggota yang disahkan di bawah PEFC," katanya dalam satu kenyataan.

Yoon Li berkata, sebagai syarikat bereputasi tinggi, menjadi tanggungjawab memulihara sumber asli dan warisan negara terutaman dalam industri pembuatan, dengan menyokong usaha pemuliharaan oleh organisasi bukan kerajaan seperti Persatuan Pencinta Alam Malaysia dan WWF Malaysia.

"Sehubungan itu, kami berbesar hati bekerjasama dengan MTCC bagi memastikan semua komponen kayu di dalam produk kami 100 peratus diperoleh dari hutan bersijil di Malaysia.

“Adalah menjadi tanggungjawab kami menerangkan melalui pelabelan MTCS-PEFC kerana pelanggan mempunyai hak untuk tahu kesan produk terhadap alam sekitar," katanya.

Sementara itu, Pengerusi MTCC, Datuk Himmat Singh berkata, sehingga 30 Jun lalu, sejumlah 4.1 juta hektar atau 28 peratus jumlah hutan simpan kekal dan 355 syarikat perkayuan mendapat pensijilan itu, sejak pelaksanaannya pada 2001.

Pensijilan MTCS disampaikan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong, di ibu pejabat syarikat itu.

-Sinar Harian