Tue09192017

LAST_UPDATETue, 19 Sep 2017 7pm

Tun M Musuh Utama Orang Melayu

KOTA BHARU: Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun menyifatkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai musuh utama Melayu yang berusaha menghapuskan UMNO.

Sehubungan itu, katanya, Pemuda UMNO tidak boleh silap menyasarkan musuh dalam peperangan politik.

"Hari ini, dalam konteks peperangan, kena lihat siapa musuh kita. Musuh orang Melayu dan sedang berusaha untuk hapuskan parti keramat tidak lain tidak bukan adalah Tun Dr Mahathir.

"Saya terus nyatakan nama beliau kerana tidak mahu jentera kita salah sasaran kerana setiap ungkapan beliau (Dr Mahathir) adalah untuk menghancurkan UMNO," katanya ketika berucap merasmikan mesyuarat Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kota Bharu, di sini, hari ini.

Beliau berkata, sifat tamak dan ego Dr Mahathir menyebabkan beliau lupa akan perjuangan UMNO.

"Sepanjang 22 tahun Dr Mahathir memerintah, UMNO terpaksa 'menghalalkan' apa sahaja tindakan yang dibuat bekas Perdana Menteri itu atas kapasitinya sebagai Presiden UMNO ketika itu selain kesetiaan.

"Suatu masa dahulu, dialah presiden kita, bahkan tindakannya memecat timbalannya ketika itu (Datuk Seri Anwar Ibrahim), kita tetap membenarkan tindakannya.

"Tapi lihat apa yang dibuatnya sekarang. Beliau ingin rosakkan perjuangan UMNO, fitnah macam-macam kepada Datuk Seri Najib Razak sehingga ada yang percaya kepada pembohongan itu," katanya.

Justeru, Khairul Azwan menggesa ahli UMNO bangkit demi mempertahankan wadah perjuangan parti itu, sekaligus menentang anasir yang dibawa Dr Mahathir.

- Berita Harian