Fri12152017

LAST_UPDATEFri, 15 Dec 2017 5pm

Permohonan BNM Siasatan Tertutup Ditolak

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) memulakan siasatannya hari ini dengan menolak permohonan Bank Negara Malaysia (BNM) agar prosidingnya ditutup kepada media dan orang ramai selepas dua laporan dikemukakan saksi.

Pengerusi panel RCI lima anggota itu, Tan Sri Mohd Sidek Hassan berkata, Seksyen 21 (2) Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 “menyebut bahawa semua keterangan yang dikemukakan semasa siasatan merupakan keistimewaan mutlak dan tidak boleh dikenakan pendakwaan atau saman.”

Kata beliau, tiada guna RCI diwujudkan jika semuanya diklasifikasikan sebagai rahsia.

Mohd Sidek berkata, orang ramai dibenar terus mengikuti prosiding itu, tetapi dokumen tidak boleh diberi kepada orang lain, kecuali kepada pesuruhjaya.

"Ini adalah siasatan dan tiada siapa yang dibicarakan, maka kami meneruskannnya untuk mencari kebenaran. Kami mempunyai masa yang sangat terhad untuk menyelesaikan urusan ini menjelang Oktober,” katanya.

Mohd Sidek, yang juga pengerusi Petronas, dibantu Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Wira Kamaludin Md Said; Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Seri Tajuddin Atan; Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah), Tan Sri Saw Choo Boon dan anggota Institut Akauntan Malaysia K. Puspanathan.

Setiausaha suruhanjaya itu ialah Datuk Dr Yusof Ismail, Setiausaha Bahagian, Bahagian Pelaburan Strategik, Kementerian Kewangan.

Pada 15 Julai tahun ini, Yang di-Pertuan Agong memberi perkenan terhadap penubuhan suruhanjaya itu untuk menyiasat kerugian dialami Bank Negara Malaysia dalam urus niaga mata wang asing pada 1990-an mengikut Akta Suruhanjaya Siasatan.

Peguam Datuk Tan Hock Chuan, yang mewakili BNM, meminta suruhanjaya itu menggunakan kuasanya untuk tidak membenarkan orang ramai dan media mengikuti prosidingnya kerana dua laporan berkenaan diklasifikasikan terletak di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Hock Chuan berkata, dua saksi akan mengemukakan laporan berkaitan urus niaga mata wang asing antara 1988 dan 1994, tetapi, menurut beliau, laporan berkenaan terletak di bawah OSA.

​​​​​​​Katanya, Seksyen 8 (g) Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 tidak membenarkan orang ramai dan media mengikuti bahagian siasatan itu.

Beliau memberitahu, panel siasatan itu bahawa kedua-dua laporan berkenaan diklasifikasikan terletak di bawah OSA dan RCI tidak mempunyai kuasa untuk mengubah status laporan berkenaan.

Oleh itu, kata beliau, kandungannya tidak boleh dikemukakan sebagai keterangan.

Dua laporan berkenaan ialah Urusan Perakaunan mengenai Kerugian Berpunca Daripada Pengurusan Rezab Aktif 1988-1994 dan Laporan Audit mengenai Bahagian Operasi Mata Wang Asing, Jabatan Perbankan dan Cawangan Pemprosesan bertarikh 21 Januari 1994.

Hock Chuan berkata, kesemua pesuruhjaya mempunyai kekebalan penuh, tetapi dua saksi berkenaan tidak mempunyai kekebalan dan mereka boleh berdepan dengan prosiding undang-undang sekiranya mereka mendedahkan kandungan laporan yang diklasifikasikan terletak di bawah OSA.

"Tuan meminta mereka (dua saksi berkenaan) melanggar OSA. Tuan tidak boleh memaksa mereka," katanya.

Pegawai pengendali tidak berhujah tentang isu itu.

- Bernama