Tue09192017

LAST_UPDATEWed, 20 Sep 2017 8am

Anwar Dimaklum Mengenai Kerugian Forex

PUTRAJAYA - Bekas Penolong Gabenor Bank Negara Datuk Abdul Murad Khalid memberitahu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kerugian urus niaga mata wang (forex) dialami Bank Negara pada 1990-an, beliau ada memberi penjelasan mengenai kerugian forex kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada awal 1994.

Bagaimanapun Abdul Murad berkata, Anwar sebagai Menteri Kewangan ketika itu, memberi komen sekiranya kerugian sebenar urus niaga forex Bank Negara Malaysia didedahkan kepada umum, beliau perlu meletak jawatannya.

"Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meminta saya untuk turut serta dalam penerbangan beliau ke Hawaii untuk memberi penjelasan mengenai kerugian urus niaga forex seperti yang diarahkan oleh Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) ketika itu Tan Sri Jaffar Hussien," katanya.

Beliau yang memegang jawatan sebagai Penasihat Bank Negara Malaysia dari 1 April 1994 hingga 1 Feb 1999, berkata demikian ketika membaca kenyataan saksinya pada prosiding suruhanjaya itu yang bersidang di Istana Kehakiman di sini hari ini.

Abdul Murad berkata, sebelum memberi penjelasan kepada Anwar berkenaan kerugian dalam urus niaga forex, beliau terlebih dahulu telah memaklumkan kepada Jaffar berkenaan hal itu ketika lawatannya ke Chemical Bank di New York bahawa kerugian BNM dengan Chemical Bank ketika itu lebih kurang RM715 juta (US$170 juta).

"Gabenor tidak percaya dan memarahi saya dan menyuruh saya berbincang bersama (Tan Sri) Nor Mohamed Yakcop iaitu Penasihat BNM ketika itu (1992)," katanya.

Beliau berkata, transaksi perdagangan forex yang dilakukan oleh BNM ketika itu melibatkan mata wang asing yang utama seperti US Dollar, Pound Sterling, Deutch Mark, Japanese Yen dan French Franc, yang dilakukan secara ‘forward’ iaitu urus niaga dilakukan pada hari ini dan dibayar kemudian bila sampai tempoh matang.

"Keputusan untuk urus niaga ditentukan oleh Penasihat BNM ketika itu (1992) iaitu Nor Mohamed Yakcop, seterusnya beliau akan mengarahkan 'dealers' untuk laksanakan keputusan tersebut.

"Dealers sepatutnya memaklumkan Jabatan Akaun untuk rekodkan urus niaga dengan menyerahkan Dealing Chits, dan pembayaran dengan ‘counter parties’ akan dibuat oleh Jabatan Akaun," katanya.

Abdul Murad menjelaskan tiada sebarang manual bertulis berhubung sistem 'check and balance' dalam pelaksanaan perdagangan forex oleh BNM, amalan yang dilakukan ketika itu (1980-an dan tahun 1990 hingga 1993) adalah urus niaga dilakukan oleh Jabatan Bank dan direkodkan oleh Jabatan Akaun.

​​​Beliau juga mendakwa dalam wawancaranya dengan media pada 27 Jan 2017, bahawa BNM tidak boleh terlibat dalam transaksi berbentuk spekulasi mengikut Central Bank of Malaysia Ordinance 1958, urus niaga forex yang dibenarkan mengikut undang-undang adalah untuk mengalihkan/penukaran aset dalam mata wang asing kepada mata wang asing yang lain.

"Tetapi urus niaga forex yang dilakukan pada 1980-an dan tahun 1990 hingga 1993 adalah berbentuk spekulasi di mana tidak bersandarkan kepada aset tetapi lebih kepada bentuk perjudian," katanya.

Dalam wawancara itu Abdul Murad juga mendakwa kerugian forex yang dialami oleh BNM ketika itu tidak ditunjukkan dalam akaun untung rugi BNM dan sebaliknya kerugian itu telah direkodkan dalam akaun 'other reserves' dengan niat kerugian sebenar yang dialami tidak diketahui sesiapa yang melihat akaun BNM.

"Pada pengetahuan saya, kerugian forex yang dialami BNM ketika itu merupakan skandal terbesar dalam sejarah perbankan dunia, ini pasti mendatangkan satu keadaan yang memalukan BNM dan kerajaan Malaysia, kedudukan kerajaan yang memerintah juga akan tergugat dengan skandal ini.

"Oleh itu 'cover-up' terpaksa dilakukan untuk menjaga imej BNM dan kerajaan Malaysia," katanya sambil menambah BNM hanya mengambil tindakan dalaman ke atas pegawainya berhubung kerugian/kehilangan akibat transaksi perdagangan forex ketika itu dengan meminta Nor Mohamed sebagai penasihat dan Jaffar meletak jawatan sebagai gabenor BNM atas kehendak sendiri.

Abdul Murad yang kini merupakan seorang pesara menjelaskan beliau hanya mendedahkan mengenai kerugian yang dialami BNM dalam perdagangan forex dan lain-lain isu dalam wawancara dengan media yang disiarkan pada 27 jan 2017 iaitu 24 tahun selepas transaksi itu berlaku kerana beliau mempunyai peluang mendedahkannya apabila dihubungi media berkenaan urus niaga terbabit.

Prosiding yang diadakan secara terbuka kepada orang ramai itu dipengerusikan oleh Tan Sri Mohd Sidek Hassan akan bersambung pada 24 Ogos ini.

Mohd Sidek yang juga Pengerusi Petronas, dibantu Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Kamaludin Md Said, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Datuk Seri Tajuddin Atan, pengerusi bersama Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah) Tan Sri Saw Choo Boon dan anggota Institut Akauntan Malaysia K. Puspanathan.

- Bernama