Tue09192017

LAST_UPDATEWed, 20 Sep 2017 8am

Mayat Pertama Anak Kapal Perang Pemusnah AS Ditemui

PUTRAJAYA – Mayat pertama dari anak kapal perang pemusnah Tentera Laut Amerika Syarikat (AS), USS John S McCain yang dilaporkan hilang selepas terlibat dalam insiden perlanggaran dengan kapal MV Alnic MC awal pagi semalam di perairan Teluk Ramuniaberjaya ditemui pasukan Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) menerusi KD Handalan petang tadi.

Ketua Pengarah Maritim, Laksamana Datuk Indera Zulkifili Abu Bakar dalam kenyataannya berkata, mayat tersebut ditemui oleh KD Handalan di sektor E pada kedudukan 4 batu nautika timur Tanjung Penawar dalam perairan Malaysia.

"Jarak penemuan lokasi mayat adalah 7.5 batu nautika barat laut dari lokasi perlanggaran pada jam 3.43 petang tadi.

 

"Mayat tersebut dibawa ke jeti Kapal Diraja Sultan Ismail (KDSI) TLDM Tanjung Pengelih, Johor," kata beliau.

Tambah beliau lagi, susulan penemuan mayat pertama ini, TLDM telah mengaturkan penyerahan mayat kepada pihak Amerika Syarikat di KDSI.

“SAR pada hari ini diteruskan meskipun pada sebelah malam. Sektor pencarian SAR masih dikekalkan kepada dua sektor utama iaitu laut dan udara yang mana keluasan sektor pencarian laut seluas 352 batu nautika persegi, serta udara seluas 488 batu nautika persegi.

"Sehingga masa ini hanya satu (1) penemuan mayat berjaya ditemukan oleh pasukan SAR," katanya.

Sehingga jam 6.00 petang tadi, terdapat dua penambahan aset di dalam sektor pencarian SAR hari ini menerusi sektor udara iaitu:

1. MARITIM MALAYSIA
a. KM Mulia (Penyelaras SAR di lapangan - OSC)
b. Penggalang 39
c. Pesawat AW 139 d. Petir 11

2. Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM)
a. KD Lekiu
b. KD Handalan
c. KD Gempita
d. Pesawat Super Lnyx

3. Pasukan Polis Marin (PDRM)
a. RH 58
b. PA 9
c. RH 24

4. Jabatan Laut Malaysia
a. MV AL-TAIR
b. AL NILAM
5. Amerika Syarikat
a. MH 60-Seahawk
b. MV 22-Osprey 3

Sementara itu, Indera Zulkifili menambah, jumlah kekuatan keseluruhan pegawai dan anggota hari ini terdiri daripada penglibatan pelbagai agensi dalam negara yang terlibat adalah lebih 500 orang dan jumlah ini termasuk 10 orang anggota penyelam TLDM yang diletakkan dalam keadaan siap siaga.

Maritim Malaysia bersama agensi SAR lain seperti TLDM, PPM dan Jabatan Laut Malaysia akan terus memberikan komitmen tinggi bagi memastikan operasi SAR ini berjalan dengan sempurna.

-Sinar Harian