Fri10202017

LAST_UPDATEFri, 27 Oct 2017 9am

Negaraku Sehati Sejiwa

Sambutan hari kebangsaan tahun ini menggunakan tema ‛Negaraku Sehati Sejiwa’ bagi menekankan semangat bersatu hati dalam kalangan rakyat Malaysia demi perpaduan nasional.

Semangat untuk menyambut ulang tahun kemerdekaan tahun ini bertembung dengan keghairahan temasya Sukan Sea 2017 (KL2017) dengan Malaysia sebagai tuan rumah dan masih menduduki tangga teratas dalam kutipan pingat emas. Kontinjen negara ke temasya sukan tersohor rantau Asia Tenggara ini yang bermula pada 19 Ogos dan akan berakhir pada 30 Ogos 2017 diwakili 874 atlet.

Temasya kali ke-29 ini mempertandingkan 404 acara yang melibatkan 38 jenis sukan. Sasaran Malaysia untuk mengutip 111 pingat emas menyamai rekod pencapaian terbaik Malaysia sebagai tuan rumah dalam Sukan SEA 2001 dengan memenangi 111 pingat emas, 75 pingat perak dan 85 gangsa. Sehingga artikel ini ditulis, Malaysia berjaya mencapai sasaran 111 pingat emas yang ditetapkan untuk temasya edisi ke-29 itu.

Seperti biasa, pada setiap acara atau temasya sukan, kita dapat lihat rakyat Malaysia pelbagai kaum tidak kira di mana mereka berada, sama ada di rumah, di tempat awam, mahupun di stadium atau gelanggang perlawanan, bersama-sama memberi sokongan padu dan semangat kepada atlet negara.

Tidak kedengaran suara-suara sumbang yang berbau perkauman ketika ini. Seluruh rakyat Malaysia bersatu hati memberi sokongan. Setiap kali mana-mana atlet atau kumpulan memenangi pingat untuk negara, mereka ialah rakyat Malaysia yang berjuang untuk menaikkan nama negara, bukannya untuk etnik masing-masing.

Secara peribadi, suasana sebegitu merupakan sesuatu yang amat saya rindui; satu keadaan yang bukan sahaja meningkatkan adrenalin tetapi satu pemandangan yang menaikkan semangat nasionalisme yang memberikan kekuatan. Ini mungkin disebabkan keadaan semasa, dengan ketidaktentuan sosioekonomi, pasang surut pencapaian sukan negara, dan pelbagai cabaran yang wujud dalam masyarakat kini, yang lebih menjurus kepada polarisasi dan perpecahan.

Ia membuatkan saya terfikir sukan mungkin satu-satunya perkara yang boleh menyatukan rakyat Malaysia, memulihkan semangat perpaduan, dan memperbaharui harapan dalam keadaan masa kini yang semakin mencabar. Sejauh manakah sukan mampu menyatupadukan rakyat Malaysia?

Bagi negara yang mempunyai rakyat pelbagai kaum seperti Malaysia, sukan sememangnya dapat digunakan sebagai salah satu saluran integrasi.

Sukan bola sepak, sebagai contoh, boleh menyatupadukan rakyat Malaysia dengan menghimpunkan berpuluh ribu penonton di stadium; tidak kira Melayu, Cina, India, atau mana-mana kaum dan tanpa mengira parti politik, sama ada kerajaan mahupun pembangkang.

Ketika itu, segala perbezaan diketepikan, tidak menjadi tumpuan atau keutamaan. Apa yang wujud hanyalah satu semangat yang sama, semangat ingin melihat pemain negara menang dan nama negara harum di persada antarabangsa. Lihat sahaja sokongan yang diberikan semasa perlawanan separuh akhir bola sepak sukan SEA pada 26 Ogos di Stadium Malawati, Shah Alam. Tahniah kepada pasukan negara yang berjaya mara ke perlawanan akhir selepas menewaskan musuh tradisi, Indonesia.

Malaysia pernah menjadi antara kuasa besar bola sepak di rantau Asia serta pernah layak ke Sukan Olimpik sebanyak dua kali, iaitu pada 1972 dan 1980. Pemain-pemain negara ketika itu juga terdiri daripada pelbagai kaum, antaranya Santokh Singh, Mokhtar Dahari, Soh Chin Aun, dan R. Arumugam.

Filem Ola Bola keluaran Astro Shaw yang ditayangkan pada tahun lepas merupakan satu usaha murni penggerak seni untuk menyemarakkan semula semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia. Lebih banyak karya sedemikian perlu dihasilkan berbanding kisah fiksyen berkenaan hantu, kisah cinta dan lara, konflik keluarga atau apa sahaja yang sangat sedikit atau tiada manfaatnya untuk masyarakat.

Filem tersebut menggambarkan situasi sebenar rakyat Malaysia yang pelbagai kaum, dengan penggunaan beberapa bahasa seperti Melayu, Inggeris, Tamil, dan Mandarin.

Antara babak yang paling meninggalkan kesan dalam filem tersebut adalah ketika para pemain baru mengetahui Malaysia memboikot Sukan Olimpik 1980 namun demi penonton yang memenuhi stadium dan maruah negara, mereka menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi dan akhirnya berjaya mengalahkan pasukan Korea Selatan dengan jaringan kemenangan pada saat-saat akhir perlawanan lalu memenangi perlawanan tersebut dengan keputusan 3-2.

Filem arahan Chiu Keng Guan ini berjaya mencetuskan satu fenomena untuk mengukuhkan lagi perpaduan kaum di Malaysia. Mereka yang telah menonton filem tersebut memberikan komen yang cukup positif. Rata-rata penonton berasa sangat teruja; ada yang menangis, ada yang tersenyum puas, dan yang pasti ramai yang bersemangat selepas itu.

Mungkin disebabkan kepelbagaian kaum dalam kru produksi mahupun barisan pelakonnya, Ola Bola berjaya merentas tembok perkauman. Pawagam dipenuhi penonton yang berbilang kaum, satu keadaan yang jarang berlaku untuk filem keluaran Malaysia. Filem ini unik dan menonjolkan pelbagai aspek serta perbezaan bahasa, agama, budaya, dan sosial tetapi masing-masing mempunyai matlamat yang sama. Terbukti bahawa sukan mampu menyatukan rakyat Malaysia yang pelbagai kaum dan agama.

Sekarang bukan sahaja orang Melayu, orang bukan Melayu pun ramai yang memakai jersi pasukan kebangsaan. Ketika pasukan bola sepak kelab, contohnya pasukan JDT, berentap di pentas Piala AFC pula, seluruh rakyat bersatu memberikan sokongan padu kepada pasukan JDT. Apabila mereka menyarung jersi kebangsaan, seluruh rakyat Malaysia memberikan sokongan padu kepada pasukan kebangsaan pula.

Sukan sememangnya antara saluran yang paling berkesan bagi menyatukan rakyat pelbagai kaum di negara ini. Dalam acara sukan, atlet yang terdiri daripada pelbagai kaum bekerjasama mencapai satu matlamat, iaitu memberi kejayaan kepada pasukan, negeri atau negara yang diwakili. Sifat semula jadi sukan memerlukan mereka untuk senantiasa bekerjasama, saling memahami dan menyemai rasa saling memerlukan.

Usaha untuk menggunakan sukan sebagai salah satu platform perpaduan perlu diperhebatkan. Setiap ahli masyarakat juga seharusnya memberi sokongan padu dalam usaha ini. Jangan pula ada pihak yang memperkecilkan dan seolah-olah tidak menghargai jerih perih dan sumbangan atlet mahupun mereka yang berusaha untuk memajukan sukan untuk negara.

Marilah kita menggunakan semangat kesukanan untuk bersama-sama menjadi ejen penyatuan kaum di samping meraikan sambutan hari kemerdekaan yang ke-60 dengan satu harapan besar agar perpaduan nasional dapat diwujudkan dan bertambah utuh. Semoga perpaduan ini juga akan membawa kepada keamanan, keharmonian, dan pembangunan yang berlipat ganda buat negara kita Malaysia yang tercinta. Negaraku Sehati Sejiwa!

 

Johari Yap

Pengerusi Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), Cawangan Kelantan