Tue11212017

LAST_UPDATETue, 21 Nov 2017 12am

Geely Sediakan Surau Dan Makanan Halal, Tiada Masalah Waktu Solat Pekerja Proton

Media Singapura, The Independent, mendakwa rakan strategik baharu Proton, Zhejiang Geely Holdings Group, kini merasai penyesalan memeterai perjanjian membeli pegangan 49.9% syarikat automotif Malaysia itu.

Memetik sumbernya, The Independent melaporkan bahawa selain daripada isu kronisme Proton, Geely juga berdepan dengan kelakuan culas pekerja Proton yang kerap mengambil masa berehat pada waktu kerja.

Kata media berkenaan, masalah dihadapi Geely kini sama seperti sewaktu Proton memeterai perjanjian bersama Volkswagen sebelum ini yang akhirnya menemui jalan buntu dan terputus di tengah jalan.

Ujarnya, Proton dibawah pemerintahan kerajaan Datuk Seri Najib Tun Razak tidak ubah seperti di zaman Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Volkswagen cuba mengubah Proton sebelum ini, cuba untuk mendapatkan kepentingan majoriti dalam syarikat tempatan, namun bidaan itu gagal selepas syarikat Jerman itu mengetahui mengenai amalan kapitalisme kroni.

"Ia nampaknya telah menyinggung perasaan orang-orang Jerman dengan begitu teruk sehingga mereka menarik diri daripada berunding dan menarik diri daripada Proton secara halus.

"Dikhabarkan, budaya minum pagi pada jam 10 pagi, waktu rehat jam 12.30 yang kemudiannya diikuti dengan waktu solat tenaga kerja dan waktu daftar keluar yang tidak ubah seperti penjawat awam di Malaysia, memaksa orang Jerman memanggilnya 'Kaput'," tulis laporan berkenaan.

Walaubagaimanapun, Geely menafikan dakwaan berkenaan sepertimana dilaporkan sumber portal berita automotif tempatan, Careta.

"Masalah waktu solat tidak wujud. Mereka solat Zohor sewaktu masa rehat tengahari dan Asar pula selepas waktu pejabat. Proton bukan satu-satunya syarikat kenderaan yang mempunyai majoriti pekerja beragama Islam dan ini bukan satu masalah," ujar sumber Geely kepada Careta.

Menurut Careta, Geely juga mempunyai pekerja Islam di China dan menyambut kedatangan pekerja Proton di kilang Geely di China, syarikat berkenaan juga sudah menyediakan surau serta menjual makanan halal di kafeteria sebagai kemudahan pekerja Muslim.

Careta turut memetik seorang lagi sumber Geely yang menyifatkan media Singapura itu sebagai tidak berasas ekoran Geely dan Proton kini sibuk untuk menjayakan kerjasama kedua-dua syarikat.

"Tunggu sahaja pengumuman mereka pada 26 September nanti dan semua gosip-gosip hasutan ini akan berhenti," ujarnya.

Geely kini sah menjadi rakan strategik Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (Proton) selepas menandatangani perjanjian membeli 49.9% saham syarikat berkenaan pada Mei lalu.

Menerusi pemeteraian perjanjian tersebut, Geely menerusi syarikat induknya, Zhejiang Geely Holding Group turut mendapat pegangan ekuiti penuh kepada anak syarikat Proton, Lotus.

Lotus merupakan syarikat pembuat kereta 'sport' di United Kingdom.

Geely Holding juga pemilik kepada syarikat Volvo Car Corporation dan The London Taxi Company.

BACA: Proton Jual 49.9% Saham Kepada Geely, Bukan Lagi 'Boss' Lotus

- mD