Sun11192017

LAST_UPDATESat, 18 Nov 2017 8pm

Lapan Penghuni Pusat Jagaan Maut Di Florida Amerika Syarikat

WASHINGTON, 14 Sept -- Lapan warga emas meninggal dunia di sebuah pusat jagaan di Florida, Amerika Syarikat, lapor agensi berita China Xinhua.

Kejadian dipercayai berpunca daripada sistem penghawa dingin di rumah jagaan berkenaan mengalami kerosakan akibat dibadai taufan Irma.

Dalam satu kenyataan akhbar pejabat Pemeriksaan Perubatan dan Pekhidmatan Trauma Broward, mengesahkan lapan kematian berlaku di Pusat Rehabilitasi di Hollywood Hills, kira-kira 32 kilometer di utara Miami.

Mangsa terdiri lima wanita dan tiga lelaki berusia antara 71 hingga 99 tahun namun punca sebenar kematian masih disiasat.

Tiga mangsa dijumpai maut pada Rabu pagi sementara selebihnya meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.

Siasatan awal polis percaya kematian berkaitan dengan haba memandangkan pada hari kejadian sama ada Selasa atau Rabu, suhu mencecah 30 darjah Celsius.

Media tempatan melaporkan rumah penjagaan itu mempunyai penjana namun tidak dapat dipastikan sama ada ia berfungsi atau sebaliknya.

Berikutan itu, polis turut memeriksa rumah jagaan lain di Hollywood yang turut mengalami masalah terputus bekalan elektrik.

Taufan Irma menyebabkan lebih 10 juta penduduk di Amerika Selatan terputus bekalan elektrik dan menurut pihak berkuasa kerja-kerja pemulihan mengambil masa sekurang-kurangnya 10 hari.

-- BERNAMA