Mon09252017

LAST_UPDATEMon, 25 Sep 2017 1am

Tahfiz : Pecah Cermin, Terjun Dari Tingkat Tiga Selamatkan Diri

KUALA LUMPUR, 14 Sept -- "Anak saya terpaksa memecahkan cermin, melompat keluar dari tingkat tiga dan terus ke awning di tingkat satu untuk menyelamatkan diri."

Demikian menurut Datuk Dr Sharifuddin Musa, 45, bapa kepada Mohd Shahir, 11, ketika menceritakan detik-detik anaknya terselamat dalam kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung, di ibu negara awal pagi tadi.

Katanya, beliau dimaklumkan mengenai kejadian itu semasa sedang membuat persiapan untuk solat Subuh sebelum bergegas ke tempat kejadian dan mendapati kebakaran itu telah merebak pantas di tingkat tiga.

"Anak saya menyelamatkan diri bersama-sama rakannya dengan memecahkan cermin , melompat dan memecahkan awning dibantu orang ramai yang berada di bawah, " katanya ketika ditemui pemberita di Wad Kecemasan Hospital Kuala Lumpur hari ini.

Sharifuddin, yang juga Anggota Jawatankuasa Surau Ittifaqah. surau berdekatan pusat tahfiz itu berkata Mohd Shahir, anak ketiga daripada empat beradik, kini menerima rawatan di HKL selepas melecur di bahagian belakang badan.

Menurutnya, bangunan pusat tahfiz itu baru setahun didiami dan dibina atas sumbangan surau.

Sementara itu, seorang ibu yang hanya mahu dikenali sebagai Maryani, 38, berkata, anaknya, Indera Kurniawan turut terselamat dalam kejadian yang tidak diingini itu.

Beliau yang ditemui di perkarangan hospital berkata kejadian telah pun berlaku dan hanya mahukan doa daripada orang ramai agar anaknya tidak mengalami sebarang kecederaan parah.

"Anak saya ditemui dalam keadaan muka hitam dan tidak sedarkan diri. Harap semuanya selamat," kata pekerja pembersihan dengan ringkas.

Polis memaklumkan, kejadian itu meragut 24 nyawa terdiri daripada 22 pelajar tahfiz dan dua guru pusat tahfiz.

-- BERNAMA