Tue11212017

LAST_UPDATETue, 21 Nov 2017 12am

Australia, Belgium, Malaysia, Ukraine. Belanda Bakal Tandatangani Dokumen Berkaitan MH17 Di New York

KUALA LUMPUR, 14 Sept -- Menteri-Menteri Luar negara Australia, Belgium, Malaysia, Ukraine dan Belanda yang membentuk Pasukan Penyiasatan Bersama (JIT), akan menandatangani dokumen berkaitan kes pesawat Boeing 777 MH17, di New York minggu depan.

Duta Besar Ukraine ke Malaysia Olexander Nechytaylo berkata, majlis menandatangani dokumen yang mentakrifkan langkah-langkah dan tindakan terperinci semua negara itu akan diadakan di luar Persidangan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-72.

"Negara-negara terlibat komited mengambil langkah berkesan dan untuk menyiasat. Ukraine dengan pasukan JIT masih bekerjasama rapat dan dokumen itu akan menyatakan secara mendalam dan ia adalah satu daripada pelbagai saluran lain yang sedang diusahakan," kata Nechytaylo kepada Bernama dalam satu temu bual di ibu pejabat agensi berita di sini, baru-baru ini.

Pesawat penerbangan Malaysia Airlines dari Amsterdam ke Kuala Lumpur terhempas di timur Ukraine pada 17 Julai 2014, mengorbankan semua 298 penumpang.
Penyiasat antarabangsa dipetik sebagai berkata, pesawat berkenaan ditembak jatuh oleh peluru berpandu BUK Rusia.

Siasatan diketuai Belanda yang mana rakyatnya paling ramai terkorban, menumpukan kepada kira-kira 100 orang disyaki memainkan "peranan aktif" dalam insiden itu, namun sehingga kini penyiasat tidak mendedahkan identiti suspek.

Mengulas lanjut, Nechytaylo berkata, dokumen berkenaan sebagai menyusuli usaha Ukraine untuk membawa pelaku ke muka pengadilan dan tuntutan mahkamah terhadap Rusia difailkan awal tahun ini.

Dalam kes difailkan 16 Januari lepas, MH17 yang ditembak jatuh dijadikan sebahagian prosiding diambil oleh Ukraine di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), beliau menambah ia bagi mempertanggungjawabkan Rusia terhadap tindakan keganasan dan diskriminasi dalam pencerobohannya ke atas Ukraine.

"Ia memang satu proses panjang dan pastinya akan mengambil masa. Cabaran dihadapi sekarang ialah kita perlu mengumpul bukti kukuh yang akan diterima di mahkamah.

"Bukan mudah untuk mendapatkan sabitan apatah lagi bangkai pesawat paling banyak ditemui bukan di bawah kawalan kerajaan Ukraine," kata Nechytaylo merangkap Duta Besar Ukraine ke Filipina.

Tambah beliau, Ukraine dan Belanda akan menandatangani satu memorandum mengenai pertukaran maklumat berkaitan nahas yang akan membantu negaranya dalam tuntutan mahkamah ke atas Rusia.

Sebagaimana dilaporkan Agensi Berita Ukraine baru-baru ini, pertukaran maklumat itu membayangkan bahawa pendakwaan suspek adalah untuk kesemua 298 mangsa yang terkorban dalam nahas berkenaan, sekaligus memberi hak sama rata kepada waris mangsa mengikut proses perundangan di Belanda.

Pada Julai, pegawai Belanda mengumumkan bahawa perbicaraan terhadap suspek yang ditahan berhubungkait insiden itu akan diadakan di Belanda, berdasarkan keputusan secara kolektif negara terlibat.

Malaysia melalui Menteri Pengangkutannya, Datuk Seri Liow Tiong Lai mengalu-alukan keputusan itu dengan mengatakan pendakwaan di Belanda akan memastikan "kebertanggungjawaban piawaian antarabangsa dipatuhi".

-- BERNAMA