Sat09232017

LAST_UPDATESat, 23 Sep 2017 9pm

Wanita UMNO Lancar Kutipan Sumbangan Bantu Tahfiz

KUALA LUMPUR - Wanita Umno hari ini melancarkan tabung kutipan bagi membantu Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Jalan Keramat Ujung, di sini yang terbakar awal pagi ini, menyebabkan 24 penghuninya maut.

Ketuanya, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata, sumbangan  bagi tabung itu akan digerakkan segera dalam kalangan ahli Wanita Umno seluruh negara.

“Sebagai permulaan, sebanyak RM5,000 sumbangan sayap berkenaan akan diserahkan kepada wakil tahfiz itu hari ini.

"Sumbangan ini diharap dapat membantu meringankan beban waris dan pengurusan tahfiz ini," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.

Pusat tahfiz itu mempunyai 36 pelajar dan enam guru yang menginap di pusat tahfiz berkenaan apabila kebakaran yang belum dipastikan puncanya berlaku pukul 5.15 pagi ini.

Seramai 22 pelajar berumur antara 13 dan 17 tahun serta dua guru dilaporkan maut dalam kejadian itu.

Sementara itu Shahrizat menyokong usaha 'pemutihan' yang akan dilakukan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan membabitkan semua pusat tahfiz di seluruh negara bagi menjamin keselamatan pelajar dan penghuni selepas ini.

– Bernama