Sat09232017

LAST_UPDATESat, 23 Sep 2017 9pm

Kursus Di UA Yang Tidak Relevan Akan Diganti

Datuk Seri Idris Jusoh.Datuk Seri Idris Jusoh.

KANGAR – Kursus pengajian yang ditawarkan universiti awam (UA) yang tidak lagi relevan dengan perkembangan semasa akan digantikan atau digabungkan, kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh.

Beliau berkata kursus baharu yang memenuhi keperluan industri akan diperkenalkan selaras dengan Revolusi Industri 4.0.

Bagi tujuan itu Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi diberi tanggungjawab untuk melaksanakan pengauditan terhadap kursus yang ditawarkan di UA, katanya kepada media.

Beliau melawat Pusat Pengajian Pembangunan Insan dan Teknokomunikasi (IKOM) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) sempena lawatan kerjan ke UniMAP.

Beliau turut menhadakan perbincangan dengan pensyarah UniMAP di kampus induknya di Pauh Putra mengenai keperluan universiti itu bagi mencapai matlamat TN50. 

Idris berkata secara keseluruhan kebolehpasaran graduan UA bertambah baik kerana struktur UA sentiasa ditambah baik.

“Setiap universiti ada kelebihan masing-masing jadi kita tidak perlu mengubahnya, cuma universiti ini perlu menyerap keperluan industri atau mengubah halatuju mereka supaya sentiasa relevan,” tambahnya.

Beliau berpuas hati kerana kebolehkan pasaran graduan UniMAP yang mencapai 95 peratus dan dari jumlah itu 70 peratus ditawarkan pekerjaan sebelum mereka menerima ijazah.

Kumpulan pertama 136 graduan program Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Media Baharu IKOM akan menerima ijazah Oktober ini.

Sementara itu beliau melahirkan perasaan dukacita dengan kebakaran yang menimpa Maahad Tahfiz Darul Quran Iltifaqiyah di Jalan Datuk Keramat di ibu negara awal pagi tadi yang mengorbankan 24 nyawa.

“Saya berharap setiap Maahad meningkatkan prosedur keselamatan dan langkah-langkah perlu dibuat  agar nyawa pelajar lebih terjamin atau kejadian sama boleh berulang,” kata Idris.

Penasihat kepada Menteri Pengajian Tinggi yang juga bekas Naib Canselor UniMAP, Prof Emeritus Datuk Dr Kamaruddin Hussin, Pengerusi Lembaga Pengarah UniMAP, Datuk Dr Mohd Sofi Osman dan Naib Canselor UniMAP, Datuk Dr Zul Azhar Zahid Jamal turut hadir.

-- BERNAMA