Tue11212017

LAST_UPDATETue, 21 Nov 2017 12am

Perdana Menteri India Dan Jepun Lancar Projek Kereta Api Laju Bernilai Us$16.8 Bilion

NEW DELHI -- Perdana Menteri India, Narendra Modi dan rakan sejawatannya, Shinzo Abe pada Khamis melancarkan projek kereta api laju bernilai US$16.8 bilion yang menghubungkan Mumbai dengan hab perniagaan Ahmedabad di India barat.

Landasan kereta api laju sejauh 508 kilometer itu dibangunkan India dengan kerjasama Jepun. 

Projek Kereta Api Laju Mumbai-Ahmedabad dilaksanakan menggunakan teknologi "shinkansen" Jepun.

Jepun akan membiayai 81 peratus daripada keseluruhan jumlah kos menerusi pinjaman mudah $13.7 bilion pada kadar faedah tahunan sebanyak 0.1 peratus.

India mensasarkan projek berkenaan disiapkan sebelum Ogos 2022 sempena perayaan 75 tahun kemerdekaan negara itu.

Apabila siap kelak, kereta api laju itu akan bergerak dengan kelajuan 320 kilometer sejam dan kelajuan maksimum 350 kilometer sejam.

Perdana Menteri Jepun tiba di Ahmedabad, barat Gujarat pada Rabu sempena lawatan dua hari ke India dan untuk menyertai sidang kemuncak tahunan India-Jepun.

-- BERNAMA