Sun11192017

LAST_UPDATESat, 18 Nov 2017 8pm

Khairy Akui Perebutan Juara Keseluruhan Sukan Para ASEAN Sengit

KUALA LUMPUR – Thailand dan Indonesia menjadi pencabar terdekat buat kontinjen negara untuk muncul juara keseluruhan temasya Sukan Para ASEAN ke-9 yang akan membuka tirai 17 Sept ini.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin mengakui perebutan untuk menjadi juara keseluruhan adalah lebih sengit memandangkan dua kontinjen dari negara berkenaan melaungkan sasaran melebihi 103 pingat emas yang disasarkan kontinjen negara.

"Saya nampak saingan kali ini lebih sengit daripada Sukan SEA. Untuk Para ASEAN, kita lebih realistik kerana berdasarkan kepada prestasi beberapa temasya sebelum ini, untuk jadi jaura keseluruhan adalah sesuatu pencapaian yang sukar.

"Unjuran kita, dengan 103 pingat emas, mungkin kita menduduki tempat kedua. Tapi dengan semangat Sukan SEA yang lepas, kita sebagai tuan rumah, saya percaya dan yakin kontinjen para negara mampu melepasi sasaran tersebut,” katanya kepada pemberita selepas melihat persiapan venue pertandingan Sukan Para ASEAN di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec) di sini hari ini.

Dalam pada itu, Khairy menyeru agar peminat sukan tanah air terus memberikan sokongan kepada atlet para yang akan bertanding di Sukan Para ASEAN ini sekali gus dapat memberi suntikan semangat untuk mereka mencipta kejayaan gemilang.

"Semangat atlet berkobar-kobar dan mereka sangat teruja dengan persekitaran dan venue yang disediakan. Saya tidak risau dengan semangat mereka,” kata Khairy yang turut mengalu-alukan sokongan padu rakyat yang akan menjadi suntikan semangat buat atlet para negara.

Semalam, setibanya di Malaysia, kontinjen Indonesia terdiri daripada 200 atlet mengumumkan sasaran 107 pingat emas dalam usaha merampas kembali gelaran juara keseluruhan Sukan  Para ASEAN.

Ketua Kontinjennya Dr Bayu Rahadian berkata atlet Indonesia akan menyertai 11 acara yang antaranya menjadi penyumbang utama kutipan pingat emas iaitu sukan olahraga, renang, catur, badminton dan ping pong.

Kontinjen pula dengan kekuatan 291 atlet, membawa misi untuk mempertahankan gelaran juara keseluruhan selepas menjadi juara edisi 2015 di Singapura dengan 95 pingat emas, 76 perak dan 79 gangsa.

Di Singapura kontinjen Indonesia menduduki tempat kedua dengan 81 emas, 74 perak dan 63 gangsa manakala kontinjen negara di tangga ketiga dengan 52 emas, 58 perak dan 37 gangsa.

Pada Sukan Paralimpik Rio 2016, Thailand menduduki tangga ke-23 daripada 159 negara setelah memenangi enam pingat emas, enam perak dan enam gangsa, manakala Malaysia di tangga ke-36 dengan tiga emas dan satu gangsa.

Sementara itu, mengulas mengenai persiapan venue pertandingan, Khairy yang juga pengerusi Jawatankuasa Pengelola Malaysia (Masoc) berkata beliau berpuas hati dengan pengubahsuaian venue pertandingan yang menepati keperluan atlet para yang akan bertanding pada temasya dwitahunan itu.

"Kita buat pelbagai pengubahsuaian untuk memberi kemudahan kepada atlet dan penyokong kelainan upya contohnya akses yang lebih mudah untuk membolehkan mereka yang berkerusi roda masuk ke gelanggang dan juga untuk penonton termasuk tandas untuk pengguna berkerusi roda.

Sukan Para ASEAN akan membuka tirai Ahad ini dengan Malaysia menghantar 331 atlet menyertai 289 acara daripada 16 jenis sukan.

-- BERNAMA