Tue11212017

LAST_UPDATETue, 21 Nov 2017 12am

Sultan Johor Titah Jangan Ganggu Wanita Didakwa Memeluk, Baginda

JOHOR BAHRU -- Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar  menitahkan orang ramai tidak mengganggu wanita yang didakwa memeluk dan mencium baginda ketika  konvoi Diraja singgah  ​​​​di Bandar Baru Ayer Hitam sempena program Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2017 pada Isnin lalu (11 Sept).

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan melalui Royal Press Office di sini hari ini, baginda menegaskan bahawa wanita itu tidak mencium baginda dan perkara itu jelas sebagaimana dalam rakaman video.

“Beliau cuba berkata sesuatu di telinga kiri saya tetapi saya tidak dapat mendengar kerana keadaan persekitaran yang bising,” titah Sultan Ibrahim.

Sultan Johor juga menjelaskan bahawa wanita itu tidak melakukan apa-apa kesalahan jenayah dan meminta polis supaya lebih bijaksana dalam mengendalikan kes itu.

Gambar dan rakaman video wanita itu menjadi viral di laman sosial sejak dua hari lepas.

Kejadian pada pukul 8.45 pagi itu dipercayai berlaku di hadapan sebuah restoran makanan segera ketika Sultan Ibrahim berangkat tiba di Taman Medan Putra, Ayer Hitam sempena program KMJ 2017.

Wanita itu didakwa memeluk bahu kanan dan cuba mencium pipi kiri Sultan Ibrahim, sebelum ditahan pihak polis untuk diambil keterangan berhubung tindakannya dan siasatan masih dijalankan.

-- BERNAMA