Tue11212017

LAST_UPDATETue, 21 Nov 2017 12am

Sibu Pesat Membangun Sejak Pembentukan Malaysia

SIBU -- Asalnya sebuah kampung kecil yang penduduknya mengusahakan kebun dan menangkap ikan sewaktu era White Rajah, bagaimanapun Sibu kemudian berkembang pesat menjadi hab komersial semasa zaman penjajahan.

Tujuh tahun selepas Sarawak, Sabah dan Persekutuan Tanah Melayu membentuk Malaysia pada 16 Sept, 1963, Sibu menjadi bandar yang semakin membangun dalam tahun 70-an.

Hasil daripada industri pembalakan, Sibu menyaksikan pembangunan yang pantas dalam tahun 80-an, merupakan Bahagian kedua di Sarawak yang paling maju selepas Kuching.

Pembangunan infrastruktur dan hartanah mula mengambil tempat dan mewujudkan peluang perniagaan, menarik mereka yang tinggal di kawasan pedalaman untuk berhijrah dan mencari pekerjaan dalam usaha mempertingkatkan taraf hidup masing-masing.

Malangnya, industri pembalakan mulai suram pada hujung 90-an, bagaimanapun limpahan yang dibawanya membolehkan kemunculan industri berat dan ringan yang pelbagai, misalnya perkapalan, sehingga produk dapat dieksport.

“Sibu menyaksikan banyak perubahan sejak beberapa tahun lepas. Ia mempunyai tiga jambatan iaitu Jambatan Igan, Jambatan Lanang dan Jambatan Batang Rajang yang menghubungkan Sibu dengan kawasan lain. Kemudahan ini banyak membantu pergerakan orang ramai dan sudah tentulah merancakkan aktiviti ekonomi.

“Kita boleh lihat banyak orang datang ke Sibu kebelakangan ini, sama ada untuk urusan perniagaan atau santai. Jika ini bukan tanda pembangunan, tak tahulah saya,” kata Bejau Japang, penjawat awam berusia 43 tahun yang berasal dari Song dan tinggal di Sibu sejak 2002.

Dari segi pendidikan, beliau berkata kini terdapat Kolej Universiti Teknologi Sarawak, Kolej Laila Taib, Akademi Maritim Sarawak dan Woodlands International School di Sibu.

Landskap perniagaan di Sibu turut menyaksikan banyak perubahan, kata Danny Wong, 50, yang bertugas dengan sebuah syarikat swasta di sini.

“Sebahagian besar daripada bandar Sibu dihuni kaum Cina, tetapi sejak beberapa tahun kebelakangan, kita dapat lihat semakin banyak Bumiputera membabitkan diri dalam perniagaan, terutamanya sebagai pengusaha kedai makan.

“Ini sesuatu yang baik kerana kita boleh saling menikmati keistimewaan masing-masing. Kita ada makanan Melayu/Melanau, makanan Dayak, dan makanan Cina, selain makanan barat, mencerminkan sisi keindahan masyarakat majmuk di sini,” kata Wong, berasal dari Bintangor.

Beliau berkata kaum Bumiputera telah mempertingkatkan taraf hidup mereka daripada sekadar menjadi peniaga gerai di tepi jalan kepada pengusaha kedai kopi.

Pengwujudan Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Jalan Mission di sini membantu menyampaikan khidmat awam kepada masyarakat.

“Meletakkan agensi negeri dan persekutuan di bawah satu bumbung benar-benar memudahkan rakyat, terutamanya dari kawasan pedalaman. Perkhidmatan dilaksanakan dengan cekap dan orang ramai tidak perlu pergi jauh dari satu tempat ke tempat lain,” kata Taylor Dom.

Bukan sahaja orang ramai tidak perlu menunggu lama, mereka juga boleh membeli barangan di Pasar Besar Sibu, yang bersebelahan dengan UTC.

Beliau berkata banyak yang boleh disentuh tentang pembangunan di Sibu, dengan sebahagian daripadanya dilihat daripada sudut dan aspek berbeza serta dapat mencetuskan perbincangan yang tiada kesudahan.

Walau apa pun, katanya, seseorang itu perlu menghargai perkara kecil yang berlaku dan berjaya membantu mengubah wajah Sibu yang sebelum ini begitu mundur, hingga mencapai kemajuan yang ada pada hari ini.

“Sememangnya Sibu belum mempunyai beberapa kelebihan seperti yang dinikmati oleh tempat lain pada masa ini, tetapi untuk menyatakan bahawa bandar ini tidak maju langsung adalah salah sama sekali. Meskipun kita mengimpikan lebih banyak kemajuan, ayuh kita terus memelihara kesepaduan dalam masyarakat  majmuk ini.

“Perpaduan merupakan kunci utama pembangunan Sibu di masa depan dan semangat itu perlu terus diperteguhkan dalam menyambut Hari Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA