Tue11212017

LAST_UPDATETue, 21 Nov 2017 12am

Wajibkan Pendaftaran Sekolah Agama - Lam Thye

Tan Sri Lee Lam Thye.Tan Sri Lee Lam Thye.

KUALA LUMPUR – Tragedi kebakaran di sebuah sekolah agama berasrama di sini yang meragut 23 nyawa awal hari ini perlu diambil pengajaran oleh semua pihak, kata Tan Sri Lee Lam Thye.

Beliau  berkata kerajaan patut mewajibkan setiap sekolah agama di negara ini berdaftar dengan Kementerian Pendidikan atau kerajaan negeri bagi meningkatkan tahap keselamatan sekolah itu.

Kata pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan itu, setelah didaftarkan, kerajaan perlu pula mewajibkan audit keselamatan secara komprehensif dilakukan terhadap sesebuah sekolah dan kemudahan yang disediakannya.

Lee berkata pihak berkuasa juga perlu melakukan pemeriksaan tahunan tentang keselamatan sekolah jenis itu di seluruh negara, yang merangkumi bangunan dan kemudahannya, termasuk asrama, terutama yang sudah berusia lebih 20 tahun.

“Pihak berkuasa yang melakukan semakan audit perlu mengenal pasti tahap keselamatan sesebuah sekolah, termasuk dari segi bahaya kebakaran,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dua puluh satu pelajar dan dua warden maut dalam kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Hujung di sini awal hari ini.

Mengenai sekolah tahfiz, Lee berkata setakat April tahun ini, 519 sekolah seperti itu didaftarkan di seluruh negara, tetapi banyak lagi dipercayai tidak didaftarkan.

Katanya, menurut laporan, Kementerian Pendidikan menghadapi kesulitan untuk memantau dan meningkatkan ciri keselamatan di sekolah tahfiz serta pelajarnya kerana kebanyakan sekolah jenis itu tidak didaftarkan.

Dalam tiga bulan pertama tahun ini, kebakaran berlaku di kira-kira 30 sekolah tahfiz, sekolah pondok dan madrasah, melibatkan kerugian dianggar lebih RM1.4 juta, katanya.

-- BERNAMA