Mon10232017

LAST_UPDATEFri, 27 Oct 2017 9am

Murid Boleh Pakai Baju Biasa Ke Sekolah

Foto arkid: BernamaFoto arkid: Bernama

KANGAR: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis memberi kelonggaran kepada pelajar yang terjejas banjir untuk datang ke sekolah esok dengan berpakaian biasa.

JPN dalam kenyataan hari ini turut menasihatkan kepada ibu bapa di kawasan yang terlibat banjir agar memastikan anak-anak mereka hadir ke sekolah.

“Begitu juga dengan alat tulis atau buku yang rosak, mereka tidak perlu bimbang sebaliknya apa yang perlu, pelajar berkenaan hadir ke sekolah seperti biasa esok,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menasihatkan orang ramai terutamanya kanak-kanak agar tidak bermain di tebing lima batang sungai kerana airnya deras.

Sungai berkenaan ialah Sungai Korok, Sungai Abi, Sungai Santan, terusan Lencongan Utara dan Sungai Perlis.

JPS memaklumkan hujan lebat yang turun di negeri ini sekarang menyebabkan paras air di Empangan Timah Tasoh di Beseri dekat sini malam tadi meningkat kepada 29.91 meter iaitu pada paras bahaya.

Berikutan itu, pihak JPS terpaksa melepaskan air dari empangan terbabit untuk menurunkan paras air di dalamnya ke paras normal, menyebabkan aliran air deras masuk di kelima-lima sungai berkenaan.

"Justeru, ibu bapa dinasihatkan agar mengawasi anak-anak mereka tidak bermain di kawasan tebing-tebing sungai terbabit bagi mengelak berlaku kejadian yang tidak diingini," tambah kenyataan itu.

- Bernama