Sat10212017

LAST_UPDATEFri, 27 Oct 2017 9am

Jihad Dalam Karier: Amin

DIA ialah penyampai berita pertama yang berani tampil di hadapan lensa dengan imej tidak berambut.

Sekalipun pernah berhadapan dengan penyakit Alopesia satu tika dahulu, namun itu tidak menghentikan semangatnya.

Sebaliknya, 10 tahun pengalaman bersiaran membuatkan dia matang mengharungi setiap detik ujian yang hadir.

Seorang penyampai berita generasi baru yang sangat dinamis dan profesional itulah dia Amin Hayat Abd Rahim yang berkongsi navigasi kariernya yang tidak pernah sekalipun terlintas sebelum ini.

Karier awal

Kerjaya saya bermula sekitar 2006, merupakan bekas graduan Software Engineering UITM dan selepas gagal di dalam dunia perniagaan saya tidak bekerja selama enam bulan, jadi ibu saya yang menghantar resume saya ke TV9 ketika itu, dan dari situlah ia bermula.

Saya mula jatuh cinta dengan dunia penyiaran dan kewartawanan atas dasar semangat dan nilai kemanusiaan yang terbit secara ikhlas menerusi setiap laporan yang saya sampaikan.

Bagi saya, langkah kanan ini adalah satu jihad buat masyarakat.

“Saya kini bertugas sebagai assistant editor yang mengurus serta menyediakan laporan-laporan khas buat berita TV9 di rencana Aduan, Bijak Belanja, Sedap, Vroom, yang terkini saya sedang melatih dua penyampai baru berbakat Zarif Zhafrii dan Hawarizwana untuk menyampai berita.

“Kedua mereka sangat berbakat dan mungkin inilah wajah baru dunia penyiaran yang bakal anda saksikan untuk beberapa tahun akan datang,” ujarnya.

Rasai penderitaan

Berbicara mengenai pengalaman selaku pengacara yang menyentuh hati dan perasaan, Amin menyatakan bencana banjir 2014 antara kenangan yang menyentuh jiwanya.

“Paling meninggalkan kesan mendalam buat saya sepanjang melaporkan berita adalah sewaktu peristiwa pasca banjir pada akhir 2014, ketika itu saya mengendalikan segmen #pulihkanharapan di mana saya perlu pergi ke lima negeri yang dilanda musibah iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Kedah dan Perak. Selama dua bulan saya ulang-alik ke lima lokasi ini.

“Selepas tragedi tersebut, saya kembali melawat Kelantan, suasananya amat pilu, kasihan apabila melihat kesusahan dan keperitan mangsa, mereka menangis kerana melihat rumah yang sekian lama didiami hanya tinggal sebatang tiang, masing-masing merintih, tidak kurang segelintir yang mengambil kesempatan. Ia adalah laporan kemanusiaan yang sangat memberi impak sepanjang karier saya di meja berita,” tegasnya.

Cabaran hari ini

Cabaran dilalui kini amat berbeza, sekarang segala-galanya di hujung jari, kita semakin terdedah dengan serangan komen-komen negatif dari netizen.

Apa yang saya lakukan, ambil ia dari sudut positif, buat penambahbaikan sekiranya dikritik. Sosial media pula lebih mendekatkan kehidupan penyampai dengan peminat, ia bagus untuk kita berkongsi bahan berita juga kehidupan buat mereka.

Kriteria penyampai berita

“Seorang penyampai yang baik haruslah mempunyai sikap yang bagus dan tertib, bukan sekadar fizikal menjadi tunjang utama, sahsiah menzahirkan diri anda sebenar.

“Ini bukan kerjaya yang hanya memerlukan anda bercakap di hadapan lensa sahaja, anda perlu jadi multitasking dan bijak mengatur tugasan, tahu sudut terbaik, editing, voice over dan perlu tahu mengendalikan crossover live.

“Jadi buat anda yang mahu bergelar wartawan haruslah punya asas kukuh dalam menyampaikan sesuatu agar meninggalkan kesan buat masyarakat,” katanya.

Bukan kejar nama

“10 tahun di TV9, menerima 10 pencalonan dan memenangi lima anugerah sudah menggembirakan saya.

Saya pernah menerima anugerah Wartawan Penyiaran Terbaik 2014 di Anugerah The National Press Club Award menerusi laporan khas ‘Ganas’ Lahad Datu Terrorist yang disampaikan oleh Perdana Menteri

serta dua kali mewakili media Malaysia di United Nations (UN-ESCAP) yang mengumpulkan semua media dari Asia Paci c.

“Saya menganggap setiap apa yang saya laporkan itu sebagai jihad, membantu masyarakat dan mereka akan berterima kasih kepada saya, itu petanda baik dan sumbangan kecil saya buat mereka,” ujarnya.

Kenangan sukar dilupakan

“Pada April 2016 saya bersiaran secara langsung dengan kepala botak, ia amat memberi kesan yang mendalam terhadap saya sebagai seorang penyampai berita, satu tamparan yang paling hebat dan paling sukar.

“Saya tetap gagahkan diri ketika itu, mujur masih punya sokongan dari keluarga, bos serta rakan-rakan yang tidak putus menyokong. Saya membotakkan kepala bukanlah kerana fesyen, disengajakan ataupun gimik tetapi disebabkan masalah keguguran rambut yang dikenali sebagai alopesia yang menyebabkan keguguran rambut di bahagian belakang kepala secara bertompok-tompok. Saya mengambil keputusan untuk membotakkan terus supaya kelihatan lebih kemas.

“Saya tidak mudah putus-asa dan masih meneruskan rawatan yang mengambil masa sekitar enam bulan. Sebagai pesakit alopesia, saya faham perasaan dan tekanan yang dihadapi golongan senasib. Kebanyakan mereka berasa malu dan mendapatkan rawatan di tempat yang salah,” jelas Amin.

Perancangan masa depan

“Selepas saya berkongsi mengenai penyakit alopesia ini, semakin ramai yang mahu menyertai saya memeranginya,

saya cipta group dan berkongsi maklumat, motivasi, perjalanan hidup dan berkongsi rawatan masalah.

“Kini saya juga sudah mula bergiat dengan dunia perniagaan iaitu perniagaan essential oil diTerra dan untuk menjalani kehidupan yang lebih sihat. Boleh juga layari info lanjut di mydoterra. com/aminhayat,”akhirnya bersama Maskulin.

-Sinar Harian