Mon10232017

LAST_UPDATEFri, 27 Oct 2017 9am

Johor Kuasa Ekonomi Baharu Untuk Negara: PM

ISKANDAR PUTERI - Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Abd Razak mengulangi pengiktirafan ke atas Johor sebagai kuasa ekonomi baharu untuk negara.

Menurutnya, ia satu pengiktirafan yang amat jelas bahawa kadar dan nadi pertumbuhan negara akan berpusat di negeri ini.

"Datuk Khaled sebut tadi bahawa ekspo ini diadakan untuk mempamerkan dan untuk memaklumkan kepada saya dan rakyat negeri Johor berkenaan dengan kemajuan yang telah dicapai oleh negeri Johor dan juga hala tuju dan penekanan yang akan diberikan selanjutnya.

“Sebenarnya ekspo ini tak perlu memberi pengetahuan kepada saya, kerana saya sudah pun tahu berkenaan kemajuan yang begitu memberangsangkan dicapai negeri Johor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Ekspo Johor Berkemajuan 2017 di Kota Iskandar di sini,hari ini.

Najib berkata, ekspo itu memberi maklumat lebih jelas dan terperinci kerana ada pihak tertentu yang cuba mengelirukan rakyat.

“Seperti mana Datuk Khaled sebut (dalam ucapan), menjual kebatilan, menjual harapan dan janji. Sebenarnya kerajaan pimpinan kita hari ini tak perlu jual harapan dan tak perlu jual janji.

“Kita sebenarnya sudah pun melaksanakannya. 'We are not promising, we are actually deliver'. Dan kita akan 'deliver' lebih banyak lagi,” katanya.

Beliau turut menyatakan komitmen bahawa Johor akan melalui fasa pembangunan yang begitu menakjubkan atas beberapa faktor.

“Antaranya kerana hubungan yang sungguh erat antara kerajaan negeri Johor dan kerajaan pusat.

"Khususnya peranan dimainkan oleh Menteri Besar Johor sendiri untuk menjamin bahawa hubungan ini sentiasa kukuh, sentiasa akrab dan juga sumbangan oleh menteri-menteri dari negeri Johor serta ahli-ahli politik dan lain yang turut bersama-sama dan sudah tentu di bawah naungan DYMM Sultan Johor sendiri yang banyak membantu mendorong pembangunan di negeri Johor ini.

“Selain faktor itu, saya melihat ada juga kelainan dan keunikan diperlihatkan oleh kerajaan negeri Johor antaranya perancangan yang diberi kuasa ‘empowerment’ kepada pegawai daerah, kepada Majlis Tindakan Daerah untuk membuat perancangan berdasarkan bukanlah perancangan yang dibuat kementerian yang berpusat di Putrajaya, tetapi perancangan, tema, keutamaan dan penegasan adalah berpunca daripada perancangan dibuat di peringkat daerah sendiri.

“Sebab itulah tiap-tiap daerah di negeri Johor ini ada tema masing-masing, ada hala tuju masing-masing, apa dia yang nak jadikan keutamaan. Jadi tahniah saya ucapkan kepada kerajaan negeri yang telah memberikan 'empowerment' kepada daerah untuk membuat perancangan,” katanya.

Najib berkata, beliau yakin dan percaya perubahan di Johor meletakkan negeri ini diambang pembangunan dan perubahan transformasi.

“Kini juga dapat kita lihat dengan pelaksanaan yang dilakukan projek-projek pembangunan dan pelaburan tambahan yang sedang dan akan terus dilaksanakan melalui kepimpinan Irda di kawasan wilayah Iskandar yang mana perkara ini sudah banyak diperkatakan.

“Hari ini saya nak sebut bahawa di antara projek induk, projek besar yang akan menjadi kenyataan adalah projek pembangunan kompleks bersepadu petroleum Pengerang (PIPC) yang mana ini akan mentransformasikan Johor selatan sebagai hab industri hiliran minyak dan gas yang lestari dan bertaraf antarabangsa,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, PIPC akan menyumbang ke arah menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada kerajan negeri Johor kerana sangat komited untuk memastikan matlamat PIPC sebagai projek nasional berkepentingan strategik ini dapat kita jayakan sepenuhnya.

“Saya difahamkan menjelang 2020, fasa pertama PIPC akan siap sepenuhnya, yang didahului sektor berat minyak dan gas. Ini melibatkan pelaburan bernilai RM124 bilion dan mampu menyediakan hampir 4,600 peluang pekerjaan,” katanya.

Menurutnya, dengan terlaksana projek itu dan ditambah dengan suntikan pihak Aramco yang bernilai RM31 bilion, merupakan satu testimoni kepada keyakinan mereka terhadap Malaysia.

“Manakala jajaran infrastruktur baru Pengerang, kita tak boleh lihat semata-mata pada projek Pengerang tetapi bila ada projek begitu besar seperti Pengerang, sudah tentu sistem jalan raya, jaringan komunikasi, pembekalan elektrik dan sebagainya untuk menampung projek ini, limpahannya, tempiasnya akan dirasai oleh rakyat setempat.

“Inilah sebab nya mengapa kita mengadakan Ekspo Johor Berkemajuan, tidak kurang juga bahawa komitmen kerajaan untuk melaksanakan projek High Speed Rail dari Kuala Lumpur ke Singapura yang merentasi Johor dan projek RTS-nya (Rapid Transit System)"Sudah tentu bila dua projek ini siap nanti ia akan membawa negeri Johor kepada peringkat pembangunan lebih tinggi lagi. The next level of Johor akan menjadi kenyataan bila High Speed Rail ini siap Insya-ALLAH,” katanya.

-Sinar Harian