Mon10232017

LAST_UPDATEFri, 27 Oct 2017 9am

eBario, BSN Diiktiraf Kepimpinan Asean

KUALA LUMPUR - Syarikat eBario dan Bank Simpanan Nasional yang mewakili Malaysia berjaya dinobatkan sebagai penerima Anugerah Kepemimpinan Asean Mengenai Pembangunan Luar Bandar dan Membasmi Kemiskinan bagi kategori badan bukan kerajaan (NGO) atau pertubuhan sosial korporat (CSO) dan syarikat swasta.

Selain Malaysia, anugerah untuk dua kategori tersebut turut diterima oleh wakil-wakil daripada sembilan negara Asean lain.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, anugerah tersebut mula diperkenalkan pada 2013 menerusi Mesyuarat Menteri-Menteri Asean Mengenai Pembangunan Luar Bandar dan Membasmi Kemiskinan (AMRDPE) ke-8 di Indonesia.

“Anugerah ini diperkenalkan untuk mengiktiraf sumbangan NGO atau CSO dalam pembangunan masyarakat luar bandar dan pembasmian kemiskinan.

“Malaysia amat berbesar hati kerana diberi peluang untuk menjadi tuan rumah kepada penganjuran AMRDPE ke 10 ini.

"Bagaimanapun untuk tahun ini kami telah memperluaskan kategori anugerah ini untuk mengiktiraf sumbangan sektor swasta,” katanya sebelum menyampaikan anugerah tersebut kepada penerimanya, malam tadi.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha bagi Komuniti Sosiobudaya Asean, Vongthep Arthakaivalvatee dan semua menteri termasuk timbalan menteri 10 negara anggota ASEAN serta wakil sektor swasta.

Beliau berkata, AMRDPE antara usaha yang perlu digunakan sepenuhnya sebagai platform perkongsian maklumat antara negara-negara Asean dalam merangka kaedah terbaik membasmi kemiskinan di rantau ini.

“Anugerah ini diharap dapat menggalakkan NGO, CSO dan syarikat swasta supaya akan terus mengukuhkan sumbangan kepada pembangunan luar bandar serta membasmi kemiskinan di negara masing-masing di Asean,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan sentiasa menggunakan pendekatan dengan melibatkan masyarakat luar bandar dalam pembangunan yang dilaksanakan bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati golongan tersebut pada masa depan.

“Kami yakin, komuniti luar bandar lebih memahami pendekatan yang terbaik untuk pembangunan di kawasan masing-masing.

“Dalam hal ini, saya percaya semua sektor harus bekerjasama untuk manfaat komuniti luar bandar,” katanya.

-Sinar Harian