Mon10232017

LAST_UPDATEFri, 27 Oct 2017 9am

Kerajaan Didesak Bina Segera Hospital Pasir Gudang

JOHOR BAHRU - Kerajaan didesak mempercepatkan pembinaan Hospital Pasir Gudang, di sini, supaya rakyat segera mendapat manfaatnya.

Adun Johor Jaya, Liow Cai Tung berkata, ini kerana proses cadangannya sudah berlarutan sejak enam tahun lalu, namun sehingga kini tiada tanda pembinaannya akan dilakukan di tapaknya iaitu di Bandar Seri Alam, di sini, seluas kira-kira 50 ekar.

“Mengikut rujukan saya, cadangan pembinaannya diutarakan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada 2011 yang ketika itu merupakan Ahli Parlimen Pasir Gudang.

“Kemudiannya cadangan sama turut dibuat setahun kemudian oleh Datuk Seri Liow Tiong Lai yang ketika itu merupakan Menteri Kesihatan yang memohon peruntukan daripada kerajaan persekutuan,” katanya pada sidang media di tapak hospital berkenaan di Bandar Seri Alam, di sini, semalam.

Cai Tung berkata, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Datuk Normala Abdul Samad juga ada memaklumkan bahawa peruntukan sebanyak RM100 juta untuk membina hospital itu pada 2013.

“Kerajaan negeri juga ada memohon pembinaan dua hospital baharu di negeri ini iaitu Tampoi dan Pasir Gudang pada 2014 berikutan kepadatan Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI).

“Kemudiannya menerusi Bajet 2016, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut mengumumkan kelulusan permohonan pembinaan Hospital Pasir Gudang,” katanya.

Beliau juga mengutarakan perkara tersebut pada sidang Dun lepas mengenai kos serta status perkembangan hospital tersebut.

“Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri, Datuk Ayub Rahmat memberi jawapan pembinaan hospital itu termasuk dalam Rancangan Malaysia ke-11 dengan kos sebanyak RM500 juta yang mana ia turut dilengkapkan sembilan kepakaran utama dan berkapasiti 300 katil.

“Turut dimaklumkan juga bahawa hospital itu di peringkat semakan jadual keperluan ruang dan seterusnya proses tender dan pembinaannya dijangka bermula pada Jun tahun depan,” katanya.

Beliau meminta kerajaan supaya menepati janji yang dibuat kerana perkara itu diumumkan ketika PRU lepas.

Sementara itu, Ayub berkata, proses pembinaan hospital tersebut perlu melalui pelbagai peringkat sebelum ia dilaksanakan.

“Saya sudah jawab soalan ini semasa sidang Dun lepas yang mana ia dijangka bermula pada tahun depan.

“Ini kerana kerajaan perlu mencari tapak, selesaikan urusan tapak, kementerian perlu mencari konsultan, rekaan, ujian tanah dan sebagainya,” katanya.

-Sinar Harian