Wed10182017

LAST_UPDATEWed, 18 Oct 2017 10am

Piala Asia: Malaysian Tigers Baham China

Foto: Sinar harianFoto: Sinar harian

SKUAD hoki negara melaungkan amaran awal betapa; mereka; bertekad untuk muncul juara Piala Asia 2017 selepas membelasah China 7-1 di Stadium Hoki Kebangsaan Maulana Bhashani di Dhaka, Bangladesh, semalam.

Malaysia menepati ramalan apabila mudah menewaskan pasukan ranking ke-18 dunia itu dengan jaringan pertama Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd Jalil seawal minit ke-12.

Faizal Saari menggandakan jaringan lima minit kemudian, diikuti Tengku Ahmad Tajuddin sekali lagi minit ke-19, masing-masing menerusi gol padang.

Skuad Malaysian Tigers menambah tekanan terhadap lawan yang berusaha keras untuk menempah slot ke Piala Dunia 2018 di India menerusi kejohanan itu, apabila menambah jaringan keempat sebaik separuh masa kedua bermula menerusi Faizal.

Skuad bimbingan Stephen Van Huizen itu terus mengasak China dengan menambah dua gol menerusi Muhammad Shahril Saabah (m-35) dan Faizal (m-41) sebelum E Wenhui menjaringkan gol tunggal China m-56.

Muhammad Ramadan Rosli melengkapkan kemenangan bergaya Malaysia pada aksi pertama Kumpulan B itu apabila menjaringkan gol ketujuh minit akhir permainan.

- Sinar Harian