Wed10182017

LAST_UPDATEWed, 18 Oct 2017 10am

Pesta Loy Krathong Dan Songkran Perlu Diperkasakan

PASIR MAS -- Pesta Loy Krathong dan Songkran yang disambut oleh masyarakat Siam perlu dipelihara dan diperkasakan bagi menambah kepelbagaian kesenian dan kebudayaan di negara ini.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata kementeriannya menggalakkan pesta berkenaan sebagai acara tahunan bagi memastikan ia terus berkembang khususnya dalam kalangan generasi muda.

"Masyarakat Siam di Malaysia ada kira-kira 60,000 orang dan mereka adalah bumiputera, saya selaku menteri yang menjaga kebudayaan merasakan amat perlu untuk kita memelihara budaya mereka ini kerana dibimbangi adat resam masyarakat kecil ini sekiranya tidak diberikan perlindungan satu hari ia akan hilang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pesta Loy Krathong Peringkat Negeri Kelantan di Wat Uttamaram, Kampung Teresek di sini, malam tadi.

Selain menonjolkan keunikan budaya masyarakat Siam, Mohamed Nazri berkata masyarakat majmuk negara ini perlu  menghormati adat resam mana-mana kaum di negara ini kerana ia merupakan resipi perpaduan dan keharmonian negara ini.

Beliau berharap perayaan masyarakat  Siam itu turut menyumbang kepada sasaran kedatangan pelancong seramai 31.8 juta orang ke negara ini dengan anggaran pendapatan RM118 bilion tahun ini.

Kemuncak sambutan pesta Loy Krathong itu ialah acara menghayutkan bunga krathong (bunga teratai) ke dalam sungai dengan diterangi cahaya lilin yang diletakkan bersama bunga berkenaan.

Acara lain yang memeriahkan pesta anjuran Persatuan Wanita Siam Negeri Kelantan ialah pertandingan gubahan bunga Loy Krathong, pertandingan ratu Loy Krathong, tomoi, gendang panjang, persembahan wayang kulit dan persembahan kebudayaan masyarakat itu.

Menurut pengerusi persatuan itu, KC Ngiam a/p Eh Kuan, pesta tersebut lazimnya disambut setahun sekali iaitu pada hari ke-15 bulan Disember mengikut kalendar lunar Siam kerana dikatakan berakhirnya musim hujan dan paras air yang masih tinggi.

"Pesta Loy Krathong membawa maksud yang tersendiri iaitu "Loy" dalam bahasa Siam bermaksud hanyut manakala krathong ialah menghayutkan bunga teratai," katanya.

-- BERNAMA