Wed10182017

LAST_UPDATEWed, 18 Oct 2017 10am

Laskar Kanan TLDM Didakwa Bunuh 2 Anggota

Foto: BHFoto: BH

SERI MANJUNG: Seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) didakwa di Mahkamah Majistret di sini sebentar tadi atas dua tuduhan membunuh dua anggota pasukan itu ketika berada dalam tahanan, 29 September lalu.

Laskar Kanan Mohd Izhrifikri Roslee, 29, dituduh menyebabkan kematian Laskar Kelas 1 Nik Muhammad Baihaqy Nik Mat, 28, di padang latihan Bilik Tahanan Unit TLDM Sungai Wangi, Sitiawan, antara jam 10.30 pagi hingga 3.20 petang pada 29 September lalu.

Dia juga didakwa melakukan perbuatan sama terhadap Laskar Kelas 1 Muhammad Lailatuliman Mohd Sukri, 26, di tempat, masa dan tarikh sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Mohd Izhrifikri mengangguk tanda memahami pertuduhan yang dibacakan.

Tiada pengakuan diambil daripada tertuduh dan tiada jaminan ditawarkan.

Majistret Nur Shaqira Ibrahim menetapkan 12 Disember ini untuk kes itu disebut semula.

Pendakwaan oleh Pengarah Pendakwaan Negeri Perak, Yusaini Amer Abdul Karim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

- Berita Harian