Wed10182017

LAST_UPDATEWed, 18 Oct 2017 10am

Susah Dapat Minyak Masak Paket

Foto: SInar harianFoto: SInar harian

KLUANG: Seorang peniaga pisang goreng di Taman Sri Lambak, di sini, akui berhadapan dengan kesukaran untuk mendapatkan bekalan minyak masak paket satu kilogram (kg) di pasaran.

Elmihazura Mohammad Isa, 33, yang berniaga sejak setahun lalu berkata, masalah bekalan keperluan itu dihadapi sejak kerajaan mengumumkan kenaikan harga minyak masak sejak akhir tahun lalu.

Menurutnya, apabila harga minyak masak diumumkan meningkat menyebabkan bekalan minyak masak paket bagi satu kilogram semakin sukar diperoleh, sama ada di kedai runcit mahupun pasar raya.

“Sejak kebelakangan ini, saya terpaksa cari dan pusing satu Kluang untuk dapatkan minyak masak paket. Saya hanya berniaga secara kecil-kecilan. Jadi minyak masak paket amat diperlukan disebabkan harga yang murah berbanding minyak masak botol.

“Setiap hari saya perlukan 17 paket minyak masak untuk kegunaan menggoreng. Jika terputus bekalan saya akan cuba keluar ke beberapa kedai runcit dan pasar raya untuk membeli minyak," katanya kepada Sinar Harian.

Elmihazura berkata, jika terputus bekalan minyak paket, dia terpaksa membeli minyak botol untuk kegunaannya berniaga dan keadaan itu memaksanya menanggung kos yang tinggi.

Katanya, kerajaan diharap memandang serius masalah yang dihadapi rakyat khususnya golongan yang kurang berkemampuan dan peniaga kecil sepertinya.

“Sekiranya masalah tersebut tak dapat ditangani, golongan peniaga sepertinya akan dibebani dengan kos yang tinggi.

“Hasil jualan yang diperoleh tidak mencukupi untuk tampung kos minyak masak yang semakin naik serta bekalan minyak masak bersubsidi yang semakin berkurangan,” katanya.

- Sinar Harian