Sun10222017

LAST_UPDATEFri, 27 Oct 2017 9am

Syed Saddiq Dicabar Selesaikan Drama Dimulakannya

ALOR SETAR: Tuduhan Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengenai beliau cuba dibeli oleh individu tertentu dan ahli keluarganya diancam adalah amat serius sekali gus pihak-pihak terbabit perlu didedahkan dengan kadar segera.

Ekoran itu Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, Syed Saddiq dicabar untuk selesaikan ‘drama’ yang dimulakan olehnya tersebut.

“Apa yang perlu beliau lakukan dengan kadar segera ialah melaporkan pertuduhan itu kepada pihak SPRM dan kebenaran dapat didedahkan akhirnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini di sini.

Menurutnya, sehingga kini beliau belum membuat laporan kepada SPRM kononnya beliau telah ditawarkan RM5 juta.

“Kita tertarik dengan pendedahan yang telah dibuat oleh Syed Saddiq bahawa wujudnya ‘rangkaian dedak sistematik’ yang bertindak membeli dan merasuah beberapa pemimpin PPBM dan mengaitkan rangkaian itu dengan Pejabat Perdana Menteri.

“Ini adalah satu kenyataan yang tidak bertanggungjawab dan beliau sekali lagi perlu membuktikannya dengan melaporkan perkara ini kepada pihak berwajib,” jelasnya.

Shaiful Hazizy berkata, pihaknya masih menunggu tindakan Syed Saddiq untuk membuktikan setiap pertuduhan yang beliau buat.

“Syed Saddiq tidak perlu semata-mata lantang dan meninggikan suara dalam sidang akhbar yang ‘hambar’ tapi perlu membuat pembuktian terhadap setiap pertuduhan yang dibuat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya juga hairan akan ‘kesepian’ yang ditunjukkan oleh beberapa ‘top dog’ pemimpin PPBM yang dilihat tidak membela ataupun mendokong pendedahan yang dibuat oleh Syed Saddiq.

- Utusan Online