Mon12182017

LAST_UPDATEMon, 18 Dec 2017 8am

Israel Pertimbang Ikut Jejak AS Tarik Diri Daripada UNESCO

BAITULMAQDIS, 13 Okt -- Israel sedang mempertimbangkan untuk menarik diri daripada Pertubuhan Pendidikan Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), kerana mendapati pertubuhan itu cenderung kepada "anti-Israel", lapor agensi berita China Xinhua.

Terdahulu pada awal Khamis, Amerika Syarikat (AS) mengumumkan menarik diri daripada pertubuhan itu berkuatkuasa apada 31 Disember 2018.

Mengulas mengenai langkah itu, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu menyifatkan tindakan AS itu satu "keputusan berani dan bermoral."

Israel juga katanya, akan menarik diri pada tarikh sama sambil menuduh UNESCO "bukannya memelihara warisan sejarah sebaliknya memutarbelitkannya dan mengemukakan idea yang berlawanan."

Sementara itu, jurucakap Jabatan Negara Heather Nauert berkata dalam satu kenyataan, keputusan itu mencerminkan "kebimbangan AS dengan penambahan tunggakan di UNESCO, keperluan pembaharuan dalam pertubuhan dan sikap anti-Israel yang berterusan di UNESCO."

Tambah kenyataan itu, AS akan terus terbabit dengan UNESCO sebagai pemerhati bukan anggota.

Ketua Pengarah UNESCO Irina Bokova, melahirkan kekecewaan dengan keputusan AS itu. "Ia satu kehilangan kepada UNESCO, Pertubuhan Bangsa Bersatu dan pelbagai pihak lain," katanya dalam satu kenyataan.

Awal tahun ini, UNESCO mencetuskan kemarahan Israel selepas menyenaraikan Hebron, sebuah bandar di Tebing Barat yang diduduki, sebagai tapak warisan dunia dalam "Negara Palestin."

Pada Oktober 2016 pula, Israel menggantung hubungannya dengan UNESCO selepas pertubuhan berkenaan mengundi memihak kepada resolusi mengenai keganasan yang semakin memuncak di Baitulmuqaddis selain menuduh UNESCO menafikan kaitan rejim Yahudi itu dengan Temple Mount.

-- BERNAMA