Wed10182017

LAST_UPDATEWed, 18 Oct 2017 10am

Pemuda UMNO Kedah Desak Saddiq Tamatkan Drama 'Dedak' RM5 Juta

ALOR SETAR: Pemuda Umno Kedah mencabar Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman segera menyelesaikan 'drama' yang diciptanya sendiri berkenaan tuduhan dirinya cuba dibeli oleh pihak tertentu.



Ia rentetan dakwaan Syed Saddiq pada awal bulan ini bahawa mendakwa dirinya cuba dibeli oleh pihak Umno malah keengganannya itu pula menyebabkan ahli keluarganya diancam.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin mempersoal mengapa sehingga kini Syed Saddiq tidak membuat sebarang laporan berkenaan tawaran RM5 juta itu.

“Apa yang perlu beliau lakukan dengan kadar segera ialah melaporkan pertuduhan itu kepada pihak SPRM dan kebenaran dapat didedahkan akhirnya.

“Kita tertarik dengan pendedahan yang telah dibuat oleh Syed Saddiq bahawa wujudnya ‘rangkaian dedak sistematik’ yang bertindak membeli dan merasuah beberapa pemimpin PPBM dan mengaitkan rangkaian itu dengan Pejabat Perdana Menteri.

“Ini adalah satu kenyataan yang tidak bertanggungjawab dan beliau sekali lagi perlu membuktikannya dengan melaporkan perkara ini kepada pihak berwajib,” katanya dalam satu kenyataan hari ini di sini.

Shaiful mendesak Syed Saddiq segera bertindak mendedahkan bukti, jika benar apa yang didakwanya sebelum ini.

“Syed Saddiq tidak perlu semata-mata lantang dan meninggikan suara dalam sidang akhbar yang ‘hambar’ tapi perlu membuat pembuktian terhadap setiap pertuduhan yang dibuat,” katanya.

Malah Shaiful juga meluahkan rasa hairannya mengapa pemimpin tertinggi PPBM tidak bersuara sebagai 'mempertahankan' Syed Saddiq dalam dakwaannya itu.

- Antarapos