Fri12152017

LAST_UPDATEThu, 14 Dec 2017 11pm

Lelaki Oman Didakwa Miliki Wang Palsu Lebih AS$40,000

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki rakyat Oman, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ampang di sini hari ini atas pertuduhan memiliki wang palsu berjumlah lebih AS$40,000 di sebuah hotel, bulan lepas.

Mohamed Yousuf Nasser, 54, yang tidak bekerja didakwa memiliki 443 keping not AS$100 bernombor siri yang sama, dengan menyedari bahawa mata wang tersebut adalah palsu dan berniat untuk menggunakan wang itu sebagai tulen di sebuah bilik, di Hotel Safari, Jalan Mamanda 5 Off Jalan Ampang, di sini pada 11.30 pagi, 28 September lepas.

Lelaki dari wilayah Zanzibar itu dituduh mengikut Seksyen 489C Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Norhashimah Hashim tidak menawarkan wang jaminan kerana tertuduh merupakan warga asing dan tempoh pas lawatan tertuduh ke negara ini juga telah tamat.

Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali tidak membenarkan tertuduh yang tidak diwakili peguam diikat jamin dan menetapkan 8 November untuk sebutan semula kes.

- Bernama