Wed10182017

LAST_UPDATEWed, 18 Oct 2017 10am

Khalid Ibrahim MB Ke-4 Bergabung Tumpaskan Pakatan Selangor?

Sebelum ini, Pengerusi UMNO Selangor Tan Sri Noh Omar mengumumkan tiga bekas Menteri Besar Selangor - Tan Sri Muhamad Muhamad Taib, Tan Sri Abu Hassan Omar dan Dr Mohd Khir Toyo - akan memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) dinegeri tersebut pada PRU14 akan datang.

Walaubagaimanapun, kini dikatakan Tan Sri Khalid Ibrahim juga akan turut serta bagi meruntuhkan kerajaan PKR negeri berkenaan.

Perkara berkenaan disuarakan oleh Abu Hassan sendiri dalam temubualnya bersama portal berita.

"Memang Khalid bersedia untuk berbuat demikian (bantu kempen BN).

"Sekarang ini sebab dah ada empat bekas MB, saya pun dah bincang dengan Tan Sri Noh (Omar) dan dia memerlukan sedikit sebanyak bantuan daripada kami, insya-Allah sedikit sebanyak kita akan bantu," katanya.

Khalid adalah Menteri Besar Selangor pertama dari PKR selepas BN ditumpaskan pada PRU 2008 lalu.

Khalid walaubagaimanapun digulingkan oleh ahli partinya sendiri menerusi Langkah Kajang bagi memberi laluan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail diangkat sebagai Menteri Besar.

Khalid kemudiannya dipecat dari PKR dan menjadi satu-satunya wakil rakyat parti bebas didalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

Mengulas lanjut mengenai penyertaan Khalid, Abu Hassan menjelaskan bahawa berita berkenaan diperolehi sumbernya yang rapat dengan Khalid.

Sumber berkenaan kata Hassan adalah anak muridnya sendiri.

Untuk keterangan lanjut, beliau menggesa untuk bertanya kepada Khalid sendiri.

"Itu kena minta dia komenlah, tapi di peringkat saya dia sedia untuk membantu," ujarnya.

Penyingkiran Khalid dari jawatan Menteri Besar disifatkan antara kontroversi terbesar dalam sejarah PKR selepas kes liwat Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Saiful Bukhari Azlan.

Bagi memburukkan nama Khalid, pemimpin PKR Datuk Saifuddin Nasution dan Rafizi Ramli mengeluarkan sebuah laporan setebal 92 muka surat sebagai 'bukti' salahlaku Khalid sepanjang tempoh menjadi Menteri Besar.

Khalid menafikan kesemua tuduhan berkenaan dan setelah dibawa ke mahkamah, hakim mendapati 'bukti' yang dinyatakan tersebut adalah fitnah, walaubagaimanapun Khalid pada waktu itu sudah dipecat dari PKR dan tidak lagi menggalas tugas sebagai Menteri Besar.

- mD