Fri12152017

LAST_UPDATEThu, 14 Dec 2017 11pm

Lagi Kes Hasut: Ustaz Wan Ji Ditahan Lepas Solat Jumaat

BUTTERWORTH – Pegawai Penerangan Ketua Menteri Pulau Pinang, Ustaz Wan Ji Wan Hussin ditahan oleh sepasukan anggota polis dari Bukit Aman kira-kira pukul 2.45 petang Jumaat.

Bekas aktivis PAS yang kemudian berpaling tadah menyertai PKR itu berjaya dicekup pihak polis yang hanya berpakaian preman dan menunggunya selepas solat Jumaat di luar Masjid Sembilang, Seberang Jaya di sini.

Difahamkan, Wan Ji, 35, yang pernah menggemparkan umat Islam apabila mendakwa Muslim boleh belai anjing; selepas itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah di Bandar Perda untuk tindakan selanjutnya.

Media tempatan melaporkan menurut sumber, tangkapan bekas pendakwah yang juga Ketua Biro Agama PKR itu dibuat sekoran satu laporan polis terhadap beliau di Kuala Lumpur baru-baru ini berhubung satu isu sensitif.

Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Chuah Ghee Lye ketika dihubungi media mengesahkan penahanan berprofil tinggi tersebut. Ujar beliau lagi, Wan Ji kini disiasat polis mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

Aktivis Pakatan Harapan itu pernah ditahan pihak polis di bawah akta sama pada 10 September 2014 ketika berada di kediamannya di Shah Alam, Selangor kerana mengeluarkan beberapa kenyataan jelik yang berbaur kontroversi.

Ia berkaitan isu agama Islam dan institusi diraja termasuk kenyataannya lantang mengkritik tindakan Kementerian Dalam Negeri yang bertegas melarang penggunaan kalimah Allah dalam ayat kitab Bible versi Bahasa Melayu.

Wan Ji turut disiasat polis pada ketika itu ekoran temubual dengan portal propembangkang The Malaysian Insider, apabila mendakwa kononnya sultan tidak boleh dilantik menjadi ketua agama Islam di negeri masing-masing.

Anak kelahiran Kelantan itu dilantik sebagai pegawai penerangan Lim Guan Eng pada 28 September lalu berganding bahu dengan Penasihat Strategik Ketua Menteri, Datuk Saifuddin Nasution Ismail yang juga Setiausaha Agung PKR.

Beliau ditugaskan sebagai jentera propaganda kerajaan DAP untuk menangkis pencerahan perang saraf UMNO berhubung tindakan pihak berkuasa Pulau Pinang berjaya ‘menindas’ masyarakat minoriti Melayu di negeri itu.

Wan Ji yang sering ‘dikutuk’ umat Islam merupakan lulusan Ijazah Sarjana dalam Syariah Islamiah di Universiti Al-Azhar, Mesir dan Doktor Falsafah Kesusasteran di Universiti Malaysia Kelantan.

- AGENSI