Sun12172017

LAST_UPDATESat, 16 Dec 2017 10pm

Permohonan Maaf Diterima Oleh Pihak Masjid

GEORGE TOWN - Semalam kecoh apabila sekumpulan penduduk Cina telah membuat bising ketika jemaah di masjid sedang menunaikan solat fardhu Isyak.

Kejadian yang berlaku di Masjid Maqbul, Jalan Jelutong itu telah menaikkan kemarahan netizen yang telah menonton video tersebut.

Namun, terbaharu dikatakan kumpulan itu telah memohon maaf kepada jemaah masjid hari atas kesilapan mereka itu.

Video yang berdurasi selama hampir dua minit itu telah menunjukkan dua lelaki berbangsa Cina telah memohon maaf kepada jemaah di perkarangan masjid tersebut.

“Oleh kerana isu semalam dah viral dan ia telah menyinggung perasaan agama dan kaum masing-masing.

“Di Pulau Pinang ini ada banyak kaum. Ada kaum Melayu, Cina dan India. Saya nasihatkan setiap kaum hormati agama masing-masing.

“Antara kaum jaga sama sendiri, jadi tiada pergaduhan sama kita,” ujar seorang jemaah yang bergelar haji dan kemungkinan imam Masjid Maqbul.

Seramai lebih kurang tujuh orang jemaah turut menyertai sesi permohonan maaf itu sebagai saksi kejadian.

“Segala kesilapan kami minta maaf ya,” kata lelaki Cina tersebut yang lengkap berpakaian uniform itu dengan ringkas sekali.

Pada akhir video tersebut, mereka telah bersalaman dan sekali lagi nasihat telah diberikan kepada kedua-dua lelaki Cina tersebut.

Sebagai negara yang mempunyai berbilang kaum, kita seharusnya melahirkan rasa hormat-menghormati sesama sendiri.

Pergaduhan akan berlaku jika perkara seperti ini sering berlaku dan boleh merosakkan imej serta keharmonian Malaysia yang dikenali sebagai negara berbilang bangsa dan agama.

- mynewshub.cc