Mon12182017

LAST_UPDATEMon, 18 Dec 2017 8am

Tular Aksi Pesawat Terbesar Dunia Nyaris Nahas Dibadai

BERLIN – Bayangkan pesawat yang anda naiki sedang mendarat dan tiba-tiba terhuyung-hayang tidak tentu arah malah nyaris terbabas ketika dibadai angin lintang kuat muncul tanpa diduga.

Begitulah yang berlaku apabila sebuah pesawat superjumbo jenis Airbus A380 cuba mendarat di landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Düsseldorf, kira-kira 561 kilometer dari sini semasa angin ribut membadai seluruh Jerman.

Pesawat Emirates dengan lebih 500 kerusi itu, yang merupakan kapal terbang komersial terbesar di dunia, dirakam sedang berdepan kesukaran semasa hendak mendarat pada 5 Oktober namun masih diperkatakan pelbagai pihak.

Insiden itu berjaya dirakam oleh seorang pengesan pesawat, Martin Bogdan dan tular setelah dimuat naik ke laman YouTube dengan menerima lebih 11 juta tontonan selain kira-kira 29,000 tanda sukan serta hampir 4,000 komen.

Juruterbang dipercayai cuba mendarat dengan betul di atas landasan tetapi angin kencang menyebabkan ia bergoyang ke kiri dan kanan. Mujur, juruterbang berjaya mengawal pesawat itu selepas mengalami kesukaran.

Apabila pesawat gergasi itu mendarat dalam keadaan angin lintang, para juruterbang lazimnya menghampiri landasan kapal terbang dengan memiringkan sedikit kapal terbang untuk mengurangkan kesan rintangan angin.

Bahagian utara Jerman dilanda angin ribut sejak beberapa hari lalu manakala taufan Xavier yang membadai negara Eropah itu mengorbankan tujuh orang. Kerosakan paling teruk kebanyakannya berlaku di daerah timur laut.

Antaranya perkhidmatan kereta api laju antara Berlin, Hanover, Hamburg dengan Keil terpaksa dibatalkan buat sementara waktu pada Jumaat atas faktor risiko keselamatan, menurut laporan media tempatan, The Local.

Meskipun Düsseldorf tidak terjejas teruk akibat taufan, kelajuan angin di kawasan itu melebihi 35 kilometer sejam pada Khamis lalu sewaktu pendaratan pesawat Emirates tersebut dirakam, lapor portal timeanddate.com.

Bogdan menulis: “Saya sudah merakam beberapa pendaratan pada waktu angin lintang di pelbagai lapangan terbang di Eropah sejak beberapa tahun lalu, namun yang berjaya diatasi pesawat ini begitu dahsyat dan luar biasa.

“Awalnya ia kelihatan seperti pendaratan yang biasa dilihat semasa angin lintang. Namun sebaik sahaja pesawat mendarat kelihatan juruterbang mencuba sedaya upaya untuk bergerak lurus di landasan dan ia menakjubkan.

“Saya tidak pernah menyaksikan keadaan seumpama itu selepas pesawat mendarat. Anda boleh nampak yang juruterbang cuba sedaya upaya untuk mengemudi pesawat supaya sejajar dengan landasan. Mujur ia berhasil.

“Video ini menunjukkan kemahiran hebat juruterbang. Meskipun berdepan angin kencang yang tidak dijangka selepas mendarat, mereka masih mampu menggerakkannya supaya sejajar dengan landasan. Menakjubkan!”

Seorang jurucakap Emirate berkata: “Pesawat EK 55 mendarat dengan selamat di Düsseldorf pada 5 Oktober dalam keadaan angin lintang. Keselamatan penumpang dan anak kapal tidak dikompromi.”

- AGENSI