Tue12192017

LAST_UPDATETue, 19 Dec 2017 8am

Didikan Agama Boleh Cegah HIV

SHAH ALAM: Hanya didikan agama dapat memandu akhlak dan moral dalam diri seseorang individu.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, pendidikan adalah langkah pencegahan daripada terlibat dengan perkara jenayah dan tidak bermoral.

"Pergaulan bebas yang tidak terkawal, kes-kes zina termasuk kes bawah umur, berleluasanya golongan LGBT dalam komuniti hari ini semakin membimbangkan dan kesemua faktor ini tidak mustahil akan menyumbang kepada jangkitan virus berkenaan.

"Selain itu, najis arak, dadah dan budaya hedonisme yang melampau juga secara tidak langsung turut menyumbang kepada jangkitan HIV," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, Malaysia merupakan 10 negara yang mencatat lebih 95 peratus bagi semua jangkitan baru HIV dikalangan negara rantau Asia Pasifik, menurut suatu laporan bertajuk, 'Ending AIDS: Progress Towards the 90-90 Targets'.

Katanya, semua pihak perlu membezakan langkah 'rawatan' dan 'pencegahan' di peringkat awal.

"Kedua-dua ada fokus dan modus operandi yang berbeza. Sekilas kita melihat kehidupan para remaja hari ini dengan pelbagai masalah sosial yang meruncing jelas menampakkan langkah pencegahan awal terlalu longgar.

"Jangan terlalu leka mengejar 'angka' dan 'gred' sehingga kita terlupa soal moral dan 'akhlak'. Sesungguhnya, keruntuhan sesebuah tamadun disebabkan rosaknya akhlak dalam kalangan rakyat," katanya.

Menurutnya, kerajaan sepatutnya serius mengkaji secara objektif mengenai langkah pencegahan awal yang tuntas terhadap masalah sosial yang sedang melanda.

"Jika 'pintu-pintu' ini tidak dibuka, mustahil ada (penyakit) yang akan masuk. Saya ingin menegaskan bahawa hanya agama yang dapat memandu akhlak dan moral dalam diri seseorang individu," katanya.

- Sinar Harian