Sat11252017

LAST_UPDATESat, 25 Nov 2017 2am

Pakatan Harapan Anuti Islam Berdasarkan Tafsiran DAP!

KUALA LUMPUR – Islam yang diperakui sebagai agama Persekutuan Malaysia hendaklah ditafsir mengikut nilai Islam yang sebenar, bukan mengikut tafsiran DAP yang mengetuai Pakatan Harapan.

Setiausaha Dewan Ulama PAS Selangor, Muhammad Najhan Halim berkata, Islam adalah Islam dan tiada Islam yang berkait dengan istilah liberal, demokrasi, progresif, taliban, ISIS atau sekular seperti yang disebut-sebut oleh DAP.

“Islam adalah Islam. Islam diperakui sebagai agama persekutuan hendaklah ditafsir sebagai cara hidup lengkap dan bukan mengikut tafsiran DAP.

“Jikalau diamati dengan ilmu dan kefahaman, segala yang ingin dicapai seperti maju, demokratik, berpandangan jauh, bertamadun semuanya sudah ada dalam Islam. Islam adalah Islam yang ajarannya yang tulen, benar dan tetap prinsipnya.

“Sekiranya mempraktiskan Islam secara keras dianggap tidak Islamik (oleh DAP dan Pakatan Harapan), begitu juga sekiranya dilonggarkan Islam sehingga meruntuhkan prinsip Islam dan syariatnya turut tidak Islamik,” tegasnya dalam satu kenyataan media hari ini.

Terdahulu, Muhammad Najhan menerangkan, istilah seperti Islamophobia, Talibanisasi dan ISIS pada zaman ini adalah istilah ciptaan barat untuk mendiskreditkan Islam dan memburukkan imejnya.

Menurut beliau, sejak zaman dulu telah wujud pelbagai istilah seperti fundamentalis, pengganas, tidak progresif dan babarian untuk memburuk-burukkkan imej agama Islam, malah termasuk di zaman Nabi Muhammad S.A.W.

Kata beliau, kini DAP dan konconya sedang memainkan semula istilah Talibanisasi untuk menyerang Islam.

Lebih menjijikan, kata beliau, DAP menyerang Islam dengan berselindung di sebalik teguran Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengenai Taliban yang bertujuan mendidik.

“Penulis akur titah Islam bukan Taliban. Namun DAP sengaja memanipulasikan istilah Taliban untuk menghalalkan tindakan mereka merosakkan sistem Islam yang menjadi paksi keamanan atas kontrak sosial di negara ini.

“Kenyataan pemimpin DAP yang menggunakan istilah menolak Taliban dalam konteks untuk menganjurkan pesta arak adalah tersasar daripada maksud titah Sultan Johor.

“Ini adalah jijik dan melampau serta DAP sudah menjadi satu kumpulan yang memusuhi Islam secara terang-terangan. Ingatlah bahawa kesabaran umat Islam ada batasnya,” katanya.

– MYNEWSHUB.CC