Sat11182017

LAST_UPDATEFri, 17 Nov 2017 11pm

Pesanan TMJ Kepada Mereka Yang Tidak Suka Beliau Lebih Sayangkan Johor

 

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam kenyataan beliau pada Mac 2016 berkata: “Kepada sekalian Bangsa Johor. Sultan anda dan kerabat Diraja Johor menyayangi anda. Saya sayangkan anda. Saya dilahirkan untuk berkhidmat kepada anda hingga penghujung nafas saya dan itu adalah tanggungjawab saya.”

Kenyataan tersebut dibuat oleh Tunku Ismail atau terkenal dengan panggilan TMJ sebagai menyatakan bahawa keutamaan dirinya adalah menjaga hak dan kesejahteraan rakyat di negeri Johor.

Namun, tidak semua apa yang dilakukan oleh putera Raja Johor itu diterima sama ada dalam dalam kalangan penyokong bola sepak tanah air, mahupun pihak-pihak tertentu.

Menyedari perkara itu, Tunku Ismail dalam kenyataan di laman Facebook JOHOR Southern Tigers (JST) pada Khamis mempertahankan tindakannya untuk terus mencintai negeri kelahiran beliau dan sanggup dibenci kerana hal tersebut.

“Kalau mereka benci saya kerana saya sayangkan negeri Johor, dan meletakkan keutamaan kepada negeri Johor, saya rasa lebih baik mereka teruskan membenci.

“Kerana kasih sayang saya kepada negeri Johor dan Bangsa Johor tidak akan berubah,” demikian menurut Tunku Ismail dalam kenyataan tersebut, semalam.

Tunku Ismail menambah, jika pihak-pihak terbabit melihat rasa sayang beliau terhadap negeri Johor dan keutamaan yang diletakkan pada negeri itu sebagai satu kesalahan, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu rela menanggung rasa bersalah tersebut selama-lamanya.

Pengendali laman Facebook JST bagaimanapun memaklumkan kenyataan tersebut bukan semata-mata berkaitan dengan bola sepak, tetapi turut melibatkan keseluruhan mengenai tugasan dan tanggungjawab Tunku Ismail sebagai Tunku Mahkota Johor.

Rasa tidak puas hati dalam kalangan peminat bola sepak Malaysia dilaporkan timbul selepas kenyataan yang dibuat Tunku Ismail semasa sesi soal jawab bersama wakil-wakil media di JDT Cafe, Johor Bahru, baru-baru ini.

Tunku Ismail dilaporkan berkata: “Pasukan negara anda semua, not my negara (bukan negara saya. I’m from Johor, you know (Saya dari Johor, anda tahu).”

Susulan kenyataan itu, sebuah akhbar melaporkan ia telah mengguris hati peminat bola.

Bagaimanapun, laporan tersebut dibidas Tunku Ismail dengan menyifatkan ia sebagai menulis berita seperti gosip murahan.

"Satu jam lebih punya dialog saya bercakap mengenai bola sepak dan isu-isu semasa, tetapi ayat gurauan yang terakhir saya selama 20 saat itulah yang menjadi tumpuan sekarang.

"Inilah salah satu sebab mengapa saya dah tak baca surat khabar dalam negara ni kerana sikap terdesak ingin menjual surat khabar dan menulis berita seperti di majalah gosip," katanya dalam kenyataan pada 13 Oktober lalu.

- mD