Sat11252017

LAST_UPDATESat, 25 Nov 2017 2am

UTC Pertama Di N. Sembilan Siap 80 Peratus

Contoh UTC di Kedah.Contoh UTC di Kedah.

SEREMBAN -- Pusat Tranformasi Bandar (UTC) yang pertama di negeri ini yang dijangka mula beroperasi Januari tahun hadapan di Plaza Angsana, Ampangan di sini kini siap 80 peratus.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kemudahan Awam, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan Datuk Abu Ubaidah Redza berkata bangunan UTC itu ketika ini masih lagi dalam proses dibaik puih dan dijangka siap sepenuhnya hujung tahun ini dengan melibatkan kos sebanyak RM25 juta.

“Kerja-kerja pengubahsuaian telah bermula sejak awal bulan Ogos yang lalu. Apabila beroperasi kelak, difahamkan terdapat 16 agensi kerajaan yang akan ditempatkan di UTC berkenaan antaranya Jabatan Imigresen, Tabung Haji, Syarikat Air Negeri Sembilan, Majlis Perbandaran Seremban, Jabatan Pengangkutan Jalan dan klinik UTC.

"Selain itu, terdapat juga 16 lot premis perniagaan disediakan dan yang pasti orang ramai tidak lagi berhadapan masalah meletak kenderaan kerana terdapat 200 lot parkir disediakan di bangunan ini dan kawasan sekitarnya," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di tapak projek berkenaan di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Projek Angsana Seremban Rosdi Mohamed.

Sementara itu, Rosdi berkata UTC di Ampangan ini bukan sahaja memudahkan orang ramai untuk berurusan dengan agensi kerajaan tetapi turut memberi limpahan ekonomi kepada kira-kira 60,000 penduduk di kawasan sekitar terutamanya bagi pengusaha makanan.

UTC pertama di negeri itu yang merupakan projek kerajaan persekutuan adalah sebahagian pelan transformasi negara (UTP) bagi kemudahan bersama.

-- BERNAMA