Mon12182017

LAST_UPDATEMon, 18 Dec 2017 9am

Datuk Tampar Cucu Sampai Hidung Berdarah

GELARAN datuk paling tak guna mungkin boleh diberikan kepada seorang lelaki di China ini yang tergamak tampar cucu perempuannya berusia empat tahun hingga mengalami pendarahan serius.

Lapor akhbar tempatan South China Morning Post, datuk muda yang baru berusia 49 tahun itu bagaimanapun telah ditahan reman selama lima hari oleh pihak berkuasa.

Kejadian agak dramatik yang sempat dirakam oleh seorang kakitangan sebuah pasar raya tersebut dikatakan berlaku pada Isnin lalu di Yongzhou, wilayah Hunan.

Rakaman video berdurasi kira-kira 40 saat itu menunjukkan muka mangsa berdarah sedang dirawat oleh seorang wanita dipercayai kakitangan pasar raya berkenaan.

Juga kelihatan tompokan darah di lantai, di kaki dan baju mangsa, sementara datuk dan adik lelaki mangsa yang berusia satu tahun hanya memerhatikan mangsa.

Namun secara tiba-tiba lelaki terbabit menolak kakitangan berkenaan sebelum menampar kepala mangsa dengan kasar sebanyak beberapa kali.

Keadaan tidak dijangka tersebut memaksa dua kakitangan tampil melindungi mangsa daripada terus dipukul oleh datuknya itu.

Dalam kenyataan dikeluarkan Polis Yongzhou, suspek telah membawa dua beradik berkenaan ke pasar raya. Tetapi suspek menjadi berang apabila mangsa enggan menggunakan eskalator kerana takut.

Suspek yang hilang kesabaran lalu bertindak menampar mangsa di bahagian muka menyebabkan hidungnya berdarah sebelum dibantu oleh dua kakitangan pasar raya berkenaan.

Dalam keterangan suspek kepada polis pula menjelaskan dia terpaksa menampar mangsa buat kali kedua kerana kanak-kanak itu enggan berhenti menangis.

Apabila polis menghubungi dan memaklumkan kejadian itu kepada ibu bapa mangsa, mereka merayu agar polis menggugurkan kes tersebut.

Malangnya rayuan mereka tidak diendahkan dan suspek ditahan reman selama lima hari untuk siasatan atas dakwaan mencederakan mangsa dengan sengaja.

– MYNEWSHUB.CC