Mon12182017

LAST_UPDATEMon, 18 Dec 2017 9am

Kampung Sangatkah Bertudung?

KECOH baru-baru ini apabila media melaporkan aduan kepada Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (Uni-MLC) mengenai larangan hotel ternama tertentu untuk pekerja mereka yang bertudung bertugas di kaunter hadapan atau front desk bagi menyambut tetamu.

Ini ditambah dengan kenyataan Presiden Persatuan Pengusaha Hotel Malaysia (MAH), Samuel Cheah Swee Hee bahawa ia tidak harus dipandang sebagai tindakan diskriminasi kerana hotel ini mempunyai garis panduan antarabangsa yang perlu dipatuhi.

Saya ingin sangat bertanyakan Presiden MAH, sekiranya ada garis panduan melarang mana-mana staf mereka yang bekerja di front desk untuk memakai tudung, adakah hotel ini mempunyai garis panduan untuk tidak menerima pelanggan yang bertudung?

Saya berasakan kenyataan dikeluarkan ini sangat cetek lagi menghina kebijaksanaan kita sebagai rakyat Malaysia. Namun, pada masa sama, ia langsung tidak mempunyai masalah untuk menerima wang dan urus niaga daripada pelanggan yang bertudung termasuk pelancong dari Asia Barat yang lengkap berpurdah.

Saya ingin tahu hotel manakah yang mempunyai garis panduan seperti ini? Ya lah, bagi saya mudah sahaja, kalau hotel berkenaan mempunyai standard atau garis panduan yang menolak mana-mana wanita bertudung untuk menjadi staf di kaunter hadapan, maka kita sebagai pelanggan juga harus mempunyai standard yang wajib untuk memulaukan dan memboikot hotel berkenaan.

Persepsi sempit

Mungkin ini sebahagian daripada pandangan dan persepsi sempit dalam kalangan masyarakat antarabangsa yang melihat wanita memakai tudung itu sebagai seseorang yang tidak bebas serta dikongkong oleh masyarakat atau keluarga.

Seolah-olah wanita bertudung ini sangat terkebelakang dirinya dari segi hak wanita dan sukar untuk mereka menerima kenyataan bahawa ramai wanita Muslim yang memakai tudung atau hijab ini dibuat atas pilihan mereka sendiri.

Saya berpendapat bahawa memakai tudung atau hijab adalah suatu tindakan feminis, yang melambangkan kekuatan dan keupayaan seseorang wanita.

Saya berpendapat bahawa Islam yang mengajar kita erti aurat dan kepentingan menjaga aurat. Wanita bukan sekadar memperagakan kecantikan, namun seseorang wanita tidak patut dipandang dan dinilai dari segi sifat fizikal semata-mata.

Walaupun naluri manusia itu sukakan sesuatu yang cantik dan memang saya menyokong penuh idea untuk seseorang wanita berusaha untuk kelihatan cantik dan menarik, identiti dirinya tidak harus dikongkong kepada kecantikan fizikal semata-mata dan saya lihat pemakaian tudung itu melambangkan semangat kewanitaan.

Saya suka melihat apabila Yuna Zarai mula-mula dahulu, pada zaman Myspace menempah nama sebagai seorang pemuzik, dia membawa imej bahawa menutup aurat tidak harus menjadi penghalang kepada impian serta bakat kita.

Kualiti muzik itu harus dinilai pada hasil karya, bukan pada gaya dan rupa karyawan itu semata-mata. Walaupun kita akui kedudukan wanita ada kekangan dalam masyarakat dan negara Islam di merata dunia, jangan terperangkap dengan persepsi serong masyarakat Barat terhadap umat Islam, sedangkan mereka mengkritik kedudukan wanita dalam masyarakat Islam.

Wajar untuk mengingatkan diri kita bahawa Pakistan, Indonesia dan Bangladesh, tiga negara dengan 90 peratus penduduknya beragama Islam, pernah mempunyai presiden dan perdana menteri wanita dan pada masa sama rakyat Amerika Syarikat menolak calon presiden wanita yang bijak lagi berpengalaman dan memilih lelaki yang kerjayanya adalah memecat orang dalam rancangan TV.

Budaya mereka yang memperdagangkan seks dan tubuh wanita sebagai daya penarik untuk menjual barang serta hiburan bukan sesuatu yang patut kita contohi, apatah lagi hendak dibanggakan. Bukankah erti feminis itu adalah menjadi seseorang yang percaya bahawa wanita setara kedudukannya berbanding lelaki, mempercayai bahawa kebolehan wanita itu tidak wajar dan tidak patut dikongkong hanya kerana jantinanya.

Sebab itu saya melihat pemakaian hijab dan tudung oleh seseorang wanita sebagai tanda kekuasaan yang membawa maksud nilai diri seseorang wanita itu bukan sekadar rupa fizikal semata-mata, tetapi termasuk juga dari segi pemikiran, personaliti dan pembawakan.

Kecewa sikap diskriminasi

Mungkin sebab itu saya begitu marah dan terhina dengan kenyataan serta keadaan ada hotel di Malaysia melakukan diskriminasi sebegitu kepada wanita yang memakai tudung. Seolah-olah mereka yang memakai tudung bakal menakutkan pelancong, ataupun kononnya membawa imej 'kampung' yang tidak layak untuk berhadapan dengan pelanggan dari pelbagai negara.

Walhal wanita bertudung sudah mentadbir sesebuah negara, menjadi pakar perubatan, profesor, peguam dan jurutera. Kalau wanita bertudung boleh memegang tanggungjawab sebagai seorang jurutera di atas sebuah pelantar minyak, takkan mereka tidak mampu untuk menjadi staf pintu hadapan sesebuah hotel yang hanya memerlukan kebolehan bertutur dalam bahasa Inggeris dengan baik dan mengisi maklumat pelanggan dalam komputer.

Memakai hijab dan tudung adalah pilihan yang dibuat oleh seseorang wanita Muslim itu, tidak patut kita mendiskriminasi mereka yang memakai hijab sebagaimana kita juga tidak patut memandang rendah atau serong atau mengkritik mereka yang belum bersedia dan memilih untuk tidak memakainya.

Pemakaian hijab dan tudung adalah satu keputusan peribadi dan harus kita hormati. Namun saya pinta, pada zaman serba moden dan maju ini jangan ada lagi pemikiran kolot ala zaman batu yang kononnya pemakaian seseorang wanita menentukan kebolehan beliau melaksanakan tugas dan kerja.

Betul, dalam setiap tempat kerja ada peraturan dan korum pemakaian yang harus kita patuhi, tetapi saya melihat larangan atau diskriminasi pemakaian tudung ini tidak membawa sebarang logik akal yang munasabah dan wajar kita memboikot mana-mana hotel yang melaksanakan dasar gila ini.

Cik Puan Azrinaz Mazhar Hakim
Penulis adalah Bekas Personaliti TV

- BH Online