Mon12182017

LAST_UPDATEMon, 18 Dec 2017 9am

Kurang Maklumat Tentang Islam Wujudkan Pandangan Serong - TPM

IPOH -- Kurang makumat tentang ajaran Islam sebenar menyebabkan sesetengah orang berpandangan serong dan negatif terhadap agama dan umat Islam, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata Islam mengajar untuk melindungi hak setiap individu dalam masyarakat dan menggalakkan kasih sayang, toleransi, saksama, adil serta keamanan dalam perundangan, amalan dan doktrin.

"Jika anda perhatikan, apabila orang Islam berjumpa antara satu sama lain, mereka mengucapkan Assalamualaikum dan Walaikumussalam, yang bermaksud ‘selamat sejahtera ke atas kamu’ dan ‘selamat sejahtera ke atas kamu juga’.

"Ini menunjukkan soal aman dan sejahtera berakar umbi dalam kehidupan seharian umat Islam,” katanya dalam ucapan pada penutupan Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Dunia ke-4 (WCIT 2017) di sini, hari ini.

Bertemakan ‘Keamanan Global’, persidangan selama dua hari bermula semalam anjuran Universiti Sultan Azlan Shah itu dihadiri perserta daripada lebih 15 negara.  

Ahmad Zahid berkata untuk memahami apa yang diajar Islam tentang keamanan, adalah penting untuk memahami konsep jihad seperti yang disebut dalam al-Quran.

“Jihad bukan merujuk kepada perang agama seperti tanggapan yang sering dilemparkan tetapi sebenarnya bermaksud perjuangan atau usaha.

"Sengaja memudaratkan orang yang tidak bersalah, sama ada Islam atau bukan Islam adalah ditegah dalam Islam. Ia bukan sebahagian jihad atau hampir dengan amalan berjihad kerana kadang-kala ia sengaja dikatakan begitu (kononnya jihad)

 "Apa yang pertubuhan pengganas telah lakukan dan sedang lakukan sekarang jauh menyimpang daripada konsep jihad dalam Islam,” katanya.

Ahmad Zahid berkata kerajaan mengambil pelbagai langkah untuk mengekang keganasan, satu daripadanya menyekat dana serta bantuan kewangan disalurkan kepada mereka oleh mana-mana pihak dan individu.

"Kami juga menubuhkan Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman di Putrajaya, bertujuan mengekang pengaruh ekstremisme dan kegiatan pengganas, serta menggalakkan keamanan sejagat.

"Di samping aspek ketenteraan, pusat itu juga menumpukan pada elemen akademik dengan peranan utama memerangi ancaman pengganas dan penyebaran propaganda dan ideologi  ekstremis dan keganasan," katanya.

Ahmad Zahid berkata keamanan global bukan sekadar sebuah negara tanpa keganasan atau tiada perang tetapi juga soal makanan untuk semua, pendidikan, kerja, rumah dan lain-lain.

"Ia merujuk kepada kegembiraan, kebebasan dan keamanan yang unggul dalam kalangan rakyat di semua negara," katanya.

-- BERNAMA