Sat12162017

LAST_UPDATESat, 16 Dec 2017 2pm

Beberapa Jalan Utama Di P. Pinang Ditutup Sabtu Ini

GEORGE TOWN -- Beberapa jalan utama di sekitar Timur Laut dan Barat Daya akan ditutup dan dilencongkan Sabtu ini sempena Program Polis Diraja Malaysia (PDRM) Komuniti Fun Run yang diadakan di perkarangan pusat beli-belah Queensbay, dekat sini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pulau Pinang Supt Roslan Ali berkata jalan yang terlibat akan ditutup secara berperingkat bermula 8 hingga 11 malam Sabtu.

"Bagi daerah Timur Laut, susur dari Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu ke pintasan Bayan Indah akan ditutup.

"Kenderaan dari pusat bandar George Town yang ingin menghala ke pintasan Bayan Indah akan dilencongkan ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu ke bulatan Bayan Baru untuk ke Jalan Sultan Azlan Shah," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata susur keluar pengkalan polis marin menghala ke Pantai Jerejak juga ditutup dan kenderaanyang datang dari pengkalan marin akan dilencongkan ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu arah ke bulatan Bayan Baru.

Roslan berkata di Barat Daya, terdapat empat jalan dan persimpangan yang akan ditutup iaitu dari bulatanBayan Baru menghala ke Queensbay dan Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu, persimpangan lampu isyarat Jalan Kampung Jawa, persimpangan lampu isyarat Lebuhraya Kampung Jawa dan Persiaran Bayan Indah menghala ke bulatan Gold Coast.

Katanya sepanjang penutupan jalan sempena program itu, dijangka berlaku sedikit kesesakan lalu lintas dan pengguna jalan raya dinasihat mematuhi arahan anggota trafik yang ditugaskan mengawal lalu lintas serta menggunakan laluan alternatif lain bagi mengelak kesesakan.

Beliau berkata acara yang julung kali diadakan itu mempertandingan dua kategori larian iaitu 12 kilometer dan tujuh kilometer serta bermula dari hadapan pusat beli-belah Queensbay dan berakhir di situ.

"Dijangka 5,000 peserta dari komuniti Pulau Pinang menyertai larian itu," katanya.

-- BERNAMA