Sat12162017

LAST_UPDATESat, 16 Dec 2017 2pm

Mamak Kerala Masuk Melayu Pun Kita Tak Suruh Pulang, Najib Sindir Mahathir

Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak menyindir dua pemimpin yang bermusuhan dan kini berganding menggulingkan pentadbiran Barisan Nasional (BN) - Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar.

Najib dalam ucapan dasar Presiden UMNO membalas pantun sindiran Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar yang dimuat naik selepas beliau pulang melawat bekas Ketua Pembangkang itu yang terlantar sakit di hospital.

Anwar menerusi Facebooknya berpantun:

"Tuai Padi Antara Masak,
Esok Jangan Layu Layuan,
Ziarah Kami Antara Nampak
Esok Pilihanraya Lawan Tetap Lawan."

Kata Najib, beliau dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor ikhlas melawat Anwar yang baru sahaja menjalani pembedahan bahu pada November lepas namun diperli.

"Ini jawapannya Saudara Anwar,.... Dengar ya,...

"Burung Merpati Terbang Sekawan,
Hinggap Seekor Di Atas Dahan,
Kita Sahut 'Lawan Tetap Lawan',
Di Pilihanraya Bertarunglah Seperti Anak Jantan," katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden UMNO di Perhimpunan Agung UMNO ke-71 di PWTC, hari ini.

Didalam ucapan berkenaan, Najib menyatakan UMNO sentiasa bersikap terbuka disamping menghormati kaum-kaum lain di Malaysia.

Tetapi berbeza dengan pembangkang sentiasa bersikap sempit dalam berpolitik degnan mengkritik etnik dan kaum di Malaysia.

"Bertambah pelik lagi, seorang bekas Presiden UMNO sendiri yang kini pemimpin utama parti pembangkang, masih terperangkap dalam kerangka pemikiran penjajah, sehingga sanggup mencerca etnik keturunan Bugis.

"Betapa rendahnya akal budi yang sedemikian ini. Sedangkan UMNO meraikan kepelbagaian etnik dan rumpun Melayu, waima, 'MAMAK MALABARI' dari 'KERALA' pun kita sudah iktiraf masuk Melayu dan tidak pulak kita suruh pulang," ujarnya.

Kenyataan berkenaan dipercayai ditujukan kepada Dr Mahathir yang menyifatkan Najib sebagai lanun Bugis dan mengarahkan Presiden UMNO itu untuk "balik Bugislah".

Najib turut memberi respon terhadap keupayaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang sehingga kini masih gagal menganjurkan mesyuarat agung tahunan disamping berdepan krisis kepimpinan yang tinggi.

"Mudah kata, kalau nak menguruskan hal ehwal mesyuarat pun gagal, lagu mana nak uruskan negara?

"Cuma, bila sampai Pilihanraya nanti, kalau masih belum selesai lagi hal mereka, janganlah nak tuding kesalahan kepada orang lain, terutamanya Kerajaan. Kan?" ujarnya.

Tambah Najib, PPBM berselindung disebalik perjuangan untuk orang Melayu dan Islam tetapi menjadi 'perkakas' kepada DAP yang secara terang AntiMelayu dan Islam.

"Bercakap tentang Mahathir pula, dulu di pentas ini juga beliau mengingatkan kita bahawa, MELAYU MUDAH LUPA, namun pada kita, this man has crossed the line.

"Apabila tergamak bersubahat dan bersekutu, dengan 'musuh politik' dan 'musuh prinsip' beliau selama puluhan tahun yang lalu. Hanya-sanya untuk memenuhi tembolok agenda kepetingan peribadi dan keluarga semata-mata," kata Najib  lagi.

-mD