Mon12182017

LAST_UPDATEMon, 18 Dec 2017 2pm

Polis Kenal Identiti Tiga Lelaki Kes Pukul Hingga Mati

MELAKA - Polis mengenal pasti identiti tiga individu bagi membantu siasatan kes kematian seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang tular di media sosial sejak Isnin lepas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Mohd Kamal Zainal berkata tiga individu berkenaan dikenali sebagai J. Visvanathan, 32; K.Shanmuganatan, 35; dan N.Thiagu, 38.

"Kita telah mengenal pasti identiti mereka dan minta ketiga-tiga suspek ini menyerah diri untuk membantu siasatan lanjut.

"Siasatan awal mendapati seorang daripada tiga lelaki berkenaan adalah bapa saudara mangsa yang bekerja sebagai pemandu lori, manakala dua lagi individu tiada hubungan keluarga dengan mangsa," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata siasatan awal juga mendapati kes melibatkan pelajar tingkatan empat dari sebuah sekolah di Tangkak Johor itu berlaku di sebuah bengkel di Krubong di sini dan dipercayai akibat perselisihan faham di antara suspek dengan mangsa.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Semalam Bernama melaporkan video remaja berkenaan yang mengalami cedera parah akibat dipukul dikejarkan ke Hospital Besar Melaka oleh orang awam kira-kira 9.45 malam Isnin.

Remaja berkenaan ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di sebuah perhentian bas di Ayer Keroh di sini.

– Bernama