Mon12182017

LAST_UPDATEMon, 18 Dec 2017 2pm

Sokongan Rakyat Di Luar Negara Bantu Majukan Umno, BN

KUALA LUMPUR - Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata parti keramat Melayu itu dan BN tidak boleh bergerak maju tanpa sokongan semua pihak termasuk yang berada di luar negara.

Beliau berkata landskap politik negara kian mencabar dan memerlukan kerjasama semua pihak dalam menjayakan agenda pembangunan negara seperti program Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Menteri Pertahanan itu berkata demikian selepas perjumpaan dengan Kelab Umno Luar Negara (KULN) bersempena Perhimpunan Agung Umno 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Jelasnya, apa jua perancangan yang diatur Umno dan BN adalah untuk dimanfaatkan semua pihak termasuk yang berada di luar negara tanpa mengira perbezaan politik dan latar belakang.

Mengulas mengenai usul yang dibahaskan dalam perhimpunan agung itu, Hishammuddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penyediaan Usul Majlis Tertinggi Umno berkata mesej yang dibawa jurucakap dan perwakilan menjurus kepada persiapan persepsi dalam menghadapi PRU14.

”Saya tengok solidariti dan pemahaman mereka bahawa perhimpunan agung kali ini cukup penting. Jauh berbeza daripada apa kita hadapi sewaktu perhimpunan sebelum ini.

“Turut disentuh adalah usul ekonomi, agama dan pendidikan yang saya fikirkan boleh dibawa ke hadapan dan dimasukkan dalam manifesto pilihan raya dan juga TN50, baik untuk anggota dan bukan ahli Umno,” katanya.

Jelasnya, pembahas-pembahas juga diharap dapat mengemukakan cadangan-cadangan kepada pucuk pimpinan parti ke arah membantu rakyat secara jangka panjang.

Sementara itu, Ketua Pergerakan Puteri Umno Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang turut menemui anggota kelab tersebut menyifatkan Umno tidak ketandusan untuk melahirkan pemimpin dalam kalangan anak muda termasuk daripada mereka yang berada di luar negara.

Jelasnya, perkongsian hari ini amat penting untuk memberi aspirasi kepada mereka dalam memahami situasi sebenar politik dan bagaimana mereka boleh membantu Umno dan BN dalam PRU14.

Bernama