Mon12182017

LAST_UPDATEMon, 18 Dec 2017 2pm

KPI Baharu Untuk Perkasa Wanita Akan Diperkenalkan

KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) bersedia untuk memberikan komitmen tinggi dalam memperkasakan keusahawanan dalam kalangan wanita termasuk memperkenalkan Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) yang khusus, kata Menterinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata, cadangan KPI itu yang selaras dengan aspirasi kerajaan dalam memastikan wanita terus memainkan peranan penting dalam pertumbuhan negara, akan dilaksanakan menerusi agensi di bawah kementerian.

Ini termasuk Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), SME Corporation Malaysia (SME Corp) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida), katanya.

“Di rantau Eropah, negara-negara Scandinavia sudah maju ke hadapan dalam agenda memperkasakan wanita dan Malaysia akan bergerak ke arah yang betul (juga).

“Sekiranya semua kementerian mempunyai agenda wanita, sudah pasti ia (KPI) akan lebih terserlah lagi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Wanita Kreatif di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Mustapa berkata demikian ketika mengulas mengenai permintaan Ketua Wanita Umno Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil pada program itu, yang diadakan bersempena Perhimpunan Agung Umno di sini.

Bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu berharap agar dengan KPI berkenaan, ia akan membantu Malaysia menghasilkan lebih ramai usahawan dalam kalangan wanita yang bersaing bukan sahaja di peringkat nasional tetapi juga secara global.

Mustapa turut yakin kementeriannya akan mencapai KPI itu dengan sokongan teguh daripada pemimpin wanita di bawah Miti, khususnya daripada Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Datuk Dr Hafsah Hashim dan Pengerusi Matrade Datuk Noraini Ahmad.

“Organisasi yang diketuai oleh wanita sudah pasti akan membawa agenda tersebut ke tahap yang tinggi, berbanding diketuai oleh lelaki,” katanya.

– Bernama