Mon12182017

LAST_UPDATEMon, 18 Dec 2017 2pm

80 Jemaah Umrah Selamat Diterbangkan

SEREMBAN - Seramai 80 jemaah umrah selamat diterbangkan oleh KRS Travel Sdn Bhd, walaupun terpaksa menanggung kerugian kos lebih RM380,000.

Ketua Pegawai Eksekutif, KRS Travel Sdn Bhd, Mohammad Ssunaibari Mohd Khalil berkata, sebelum ini seorang bekas pekerjanya telah ditahan polis kerana disyaki melakukan penyelewengan wang berjumlah RM500,000, termasuk melesapkan bayaran pakej umrah dan ziarah.

Katanya, perkara itu dilakukan oleh KRS Leisure and Services, dikendalikan lelaki itu, yang mana tiada kena mengena dengan KRS Travel Sdn Bhd.

Bagaimanapun, pihaknya rasa bertanggungjawab dengan kejadian yang berlaku, meski pun bukan di bawah tanggungan mereka.

"Ini adalah kejadian yang jarang berlaku, biasa kita dengar jemaah terkandas di lapangan terbang, tetapi kali ini jemaah tetap diterbangkan walau pun pihak agensi tidak mendapat sebarang bayaran kerana telah dilesapkan oleh individu tidak bertanggungjawab.

"Atas dasar kemanusiaan dan prihatin dengan apa yang berlaku, kita tetap komited untuk meneruskan perjalanan seperti mana yang dijanjikan oleh pihak ketiga itu (KRS Leisure and Service) yang tiada kena mengena dengan kita.

"KRS Travel Sdn Bhd telah menerbangkan semua jemaah umrah termasuk destinasi lain sebagaimana yang telah ditempah.

"Ini selari dengan komitmen dan dasar syarikat yang sentiasa mengutamakan pelanggan, walau pun kami terpaksa menanggung semua kos, tetapi diharap semua jemaah berpuas hati,"katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Bilik Mesyuarat KRS, Warisan Puteri di sini tadi.

Hadir sama, Pengarah Urusan KRS Travel Sdn Bhd, Mohammad Yusof Khalili Mohammad SSunaibari.

Tambah Mohammad Ssunaibari, kesemua jemaah sudah berlepas dengan dua penerbangan pada 26 dan 28 November lalu.

-Sinar Harian