Mon12182017

LAST_UPDATEMon, 18 Dec 2017 2pm

Air Masuk Rumah Jam 3 Pagi

KEPALA BATAS - Penduduk Kampung Lapangan Terbang di sini terpaksa berpindah kali keempat dalam tempoh empat bulan akibat banjir yang melanda kampung mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Ahmad Taib berkata, kawasan kampung mereka yang berdekatan sungai menyebabkan kampung mereka mudah dinaiki air.

"Air dah mula naik sejak 28 November lalu. Tapi air naik sikit-sikit dan kami masih boleh bertahan.

"Tapi pagi tadi mula jam 3 pagi, air dah mula naik tinggi dalam rumah penduduk dan kami terpaksa berpindah,"katanya ketika ditemui di pusat pemindahan Surau As Syakirin di sini, petang tadi.

Menurutnya, kampung mereka kali terakhir dilanda banjir kira-kira empat tahun lalu.

"Kami biasa kena banjir sebab duk kawasan rendah,tapi tak la kerap macam tahun ini.

"Ini kalau ikutkan dah tujuh kali air naik, tapi ada masa tak teruk dan tak ramai yang kena jadi tak buka pusat pemindahan," katanya.

Sementara itu, Sekretariat Pengurusan Bencana Kota Setar, Kapten Pertahanan Awam Mohd Zain Bahrum berkata, pusat pemindahan di surau berkenaan dibuka pada jam 12 tengah hari, hari ini.

"Setakat jam 5 petang tadi, kira-kira 28 mangsa daripada tujuh buah keluarga telah mendaftar di pusat pemindahan ini. Kita jangka jumlah mangsa akan meningkat dari masa ke semasa kerana difahamkan masih ada lagi penduduk yang akan mendaftar di pusat pemindahan ini.

"Anggota APM yang bertugas juga mengadakan pemantauan di kawasan terlibat banjir dan juga kawasan -kawasan lain yang berisiko dilanda banjir,” katanya.

-Sinar Harian