Sat12162017

LAST_UPDATESat, 16 Dec 2017 2pm

Zaid Disiasat Bawah Akta Hasutan, SKMM

KUALA LUMPUR: Kenyataan ahli DAP, Datuk Zaid Ibrahim yang didakwa mempersoalkan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di akaun Twitternya baru-baru ini akan disiasat mengikut Seksyen 4 Akta Hasutan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, kes berkenaan juga akan disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

“Kita telah menerima laporan berhubung kes berkenaan dan siasatan sedang dijalankan,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Tabung Prihatin Pengaman di Dewan Tan Sri Khalid Abu Bakar di Pusat Latihan Polis di sini hari ini.

Sementara itu di SHAH ALAM, Ketua Polis Selangor, Datuk Maz­lan Mansor berkata, laporan terhadap Zaid telah dibuat di Kuala Lumpur semalam.

“Saya mengesahkan satu laporan polis telah dibuat di Kuala Lumpur dan siasatan dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Perarakan serta Forum Perdana Sempena Sam­butan Maulidur Rasul Peringkat Kontinjen Se­langor di sini.

Sultan Selangor menerusi wawancara khas dengan sebuah akhbar tempatan berbahasa Inggeris baru-baru ini menyatakan kebimbangan baginda dengan tindakan pihak-pihak tertentu yang sengaja mengeksploitasi isu kaum, agama dan lain-lain perkara sensitif dalam usaha sokongan pengundi dalam pilihan raya umum akan datang.

Titah baginda, tindakan seumpama itu dilihat akan mele­takkan negara ke arah kehancuran yang mana isu tersebut sentiasa menjadi perkara yang dibincang serta dibimbangkan oleh sembilan Raja-raja Melayu di negara ini.

Malah, dalam wawancara sama, baginda turut menegur Tun Dr. Mahathir Mohamed yang sebelum ini menghina etnik Bugis, selain menyifatkan bekas Perdana Menteri itu merupakan seorang pemimpin yang memiliki inferiority complex (merasa rendah diri yang kompleks) serta perasaan kebencian mendalam dalam dirinya.

Bagaimanapun, pandangan Sultan Sha­rafuddin itu di­pertikaikan oleh Zaid apabila beliau menasihatkan baginda su­paya berhati-hati dalam berkata-kata.

“Sultan Selangor seharusnya lebih berhati-hati dengan kata-katanya. Tidak ada sesiapa yang kebal apabila negara terbakar,” dakwa Zaid dalam satu kenya­taan menerusi laman sosial Twitternya.

Akibat tindakan itu, baginda dalam temubual eksklusif bersama Utusan Malaysia di Istana Alam Shah di sini semalam menzahirkan kemurkaan terhadap ahli DAP itu dan menyifatkan Zaid sebagai seorang yang biadab.


- Utusan Online