Tue04242018

LAST_UPDATEMon, 23 Apr 2018 11pm

Rahman Dahlan Lantik Peguam Kaji Guna Semua Saluran Undang-Undang Ke Atas Rafizi

KUALA LUMPUR -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan telah melantik peguam untuk mengkaji semua saluran undang-undang yang boleh digunakan ke atas naib presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rafizi Ramli.

Dalam satu kenyataan, Abdul Rahman berkata tindakan itu diambil untuk menghentikan fitnah berterusan yang dibuat oleh Rafizi.

"Pada Isnin, Rafizi Ramli, Naib Presiden PKR mengadakan sidang media dan mendakwa saya melantik abang saya sebagai kontraktor utama bagi penganjuran Ekspo Negaraku.

"Pada sidang media yang sama, Rafizi Ramli dengan yakin menyatakan beliau telah melakukan penyelidikan menyeluruh dan pelbagai siasatan dan hasilnya membuktikan bahawa Raslan Dahlan, ketua pegawai eksekutif PICO Integrated Exhibits (M) Sdn Bhd memang saudara saya.

"Seperti banyak kenyataan yang dibuat oleh Rafizi, ini adalah satu pembohongan terang-terang yang tidak sesuai dengan kedudukannya sebagai anggota Parlimen. Dia begitu yakin dan bersemangat apabila membuat dakwaan ini. Selepas mengulangi dakwaan itu sebanyak sembilan kali, Rafizi tentu mempercayai pembohongannya sendiri," kata beliau.

Rafizi dalam laporan berita pada Isnin mendakwa bahawa kontrak besar kerajaan diberikan kepada sebuah syarikat yang diketuai oleh saudara kandung Abdul Rahman.

Anggota Parlimen Pandan itu kemudian terpaksa mengeluarkan catatannya setelah mendapati bahawa Raslan Dahlan yang dirujuknya bukan abang Abdul Rahman.

Dalam kenyataan itu, Abdul Rahman mendakwa bahawa bahasa badan Rafizi, perilaku dan nada suara Rafizi dalam sidang media ialah untuk meyakinkan penonton mengenai tuduhan yang berbaur fitnah ke atas beliau.

Abdul Rahman berkata beliau mempunyai bukti bahawa Rafizi telah menghubungi Raslan Dahlan sebaik sahaja selepas sidang media itu menerusi Facebook, dengan bertanya sama ada Raslan sebenarnya adalah abang Abdul Rahman.

"Ini menunjukkan bahawa Rafizi tidak pasti mengenai fakta-fakta itu. Tetapi demi mencapai cita-cita politiknya, beliau terus memfitnah saya," kata beliau.

Kenyataan itu berkata Abdul Rahman turut terkilan dengan hakikat bahawa Rafizi menuduh pegawai Unit Perancang Ekonomi (EPU) membocorkan maklumat yang tidak tepat dalam percubaan untuk menimbulkan perselisihan antara pegawai EPU dan beliau.

-- BERNAMA